[VIDEO] Itu set drama ala Bali, tiada kaitan dengan Ameera – Meerqeen

DIDAKWA bercuti bersama pempengaruh, Ameera Khan di Bali, pelakon Meerqeen menafikan tuduhan tersebut yang disifatkan sebagai salah faham.

Ujar Meerqeen atau nama sebenarnya Muhammad Shameer Shauqeen Saiful Izam, 23, isu timbul gara-gara produksi dibintangi menggunakan ‘props’ seperti di pulau peranginan popular Indonesia itu yang kebetulan menjadi destinasi percutian Ameera.

“Ini sangat kelakar, saya tak pernah cerita pun dengan orang tentang ini. Saya ada penggambaran ketika itu. Set yang melatari drama Uncle Boss Mama seakan-akan di Bali.

Jadi apa salahnya saya muat naik gambar ketika di set penggambaran tersebut. Tiba-tiba Amira pun kongsi gambarnya di Bali tetapi saya tidak tahu keberadaannya di sana.

“Saya kongsikan gambar tersebut sebab pihak produksi buat set itu sama macam Bali, tiada kena mengena dengan Ameera,” katanya kepada HIBGLAM.

Tidak berniat mencetuskan sebarang spekulasi, pelakon drama Cinta Untuk Sekali lagi itu perlu tampil menjelaskannya semua ini bagi menjaga nama baik rakannya.

“Saya tak ada niat untuk cetuskan spekulasi tapi bila orang kaitkan dengan saya, saya terkejut.

Apa yang saya buat semuanya menjadi buah mulut orang.

‘Saya tak kisah apa pun yang orang cakap, tapi saya perlu jelaskan demi menghormati nama baiknya,” jelasnya.

Buat sekian kalinya, Meerqeen menegaskan dia dan adik kepada pengacara juga usahawan Neelofa itu tidak mempunyai apa-apa hubungan istimewa malah mereka sudah lama bersahabat.

“Saya dengan dia hanya berkawan, saya kenal dia dari saya mula masuk industri lagi.

Kami pernah menjalani sesi fotografi bersama. Selepas itu kami mula berkawan namun perhubungan kami tidak lebih daripada itu,” ujarnya pada sesi temu bual bersama pelakon drama Uncle Boss Mama, hari ini.

Pada Julai lalu, timbul spekulasi Meerqeen dan Ameera bercuti bersama-sama di Bali, Indonesia berikutan terlihat pantulan wajah Meerqeen pada pisau dalam sebuah foto dimuat naik wanita itu.

Ameera bagaimanapun menjelaskan dia ke Bali berempat iaitu bersama sepupunya, Aisha dan penggawal peribadi serta pemandu.

Pada masa sama, pempengaruh sensasi itu turut memberitahu sudah memiliki teman lelaki yang kini berada di London.

Ini bukanlah kali mereka dikaitkan, tahun lalu mereka juga pernah dikatakan bercinta apabila menghadiri pertunjukkan fesyen di Paris dan saling memuat naik foto di akaun instagram masing-masing. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok