CINTA terhadap muzik dan budaya mendorong tiga penyanyi jelita kelahiran Borneo ini gigih memperjuangkan lagu-lagu berunsurkan etnik dari tanah tumpah darah mereka.
Jika Marsha Milan dan Velvet Aduk meledak dengan lagu-lagu bertemakan Sabah, Alena Murang pula gemilang mengalunkan lagu-lagu bernuansa bumi kenyalang sambil bermain alat muzik tradisional, sape.
Di sebalik impian tinggi, laluan yang harus ditempuh mereka bertiga juga tidak mudah. Pelbagai onak dan duri harus ditempuh sehinggalah muzik mereka betul-betul berjaya mencuri tumpuan seluruh rakyat Malaysia.
Marsha dan Velvet misalnya, mereka terpaksa mengeluarkan duit poket sendiri untuk menghasilkan lagu duet Sumandak Sabah sekitar tujuh tahun lalu.
Tanpa meletakkan harapan setinggi Gunung Kinabalu, lagu Sumandak Sabah menjadi viral sehingga mendapat jumlah tontonan sebanyak 18 juta dalam saluran YouTube.
“Tidak mudah untuk mengeluarkan lagu kerana memerlukan duit yang banyak. Ketika itu kami tidak bernaung bawah mana-mana syarikat rakaman.
“Kos untuk edaran dan penghasilan video muzik juga perlu diambil kira. Kami banyak minta tajaan ketika itu dan bantuan kawan-kawan.
“Boleh dikatakan ini adalah projek syok sendiri. Sekadar ingin merealisasikan impian kami yang tertangguh. Tapi tak sangka ramai yang suka,” kata Velvet.
Perkara sama turut diakui Marsha yang sewaktu memulakan projek berkenaan masih bergelut dengan kerjaya solonya sebagai penyanyi.
“Ketika saya dan Velvet masih ‘struggle’ dengan kerjaya solo masing-masing, kami cuba bereksperimen dengan lagu-lagu Sabah.
“Diam tak diam, sehingga kini sudah ada enam buah lagu yang kami hasilkan.
“Setiap kali kalau saya pulang ke Sabah, pasti peminat akan tanya bila lagi saya akan berduet dengan Velvet,” kongsinya.
Bagi penyanyi kacukan Kelabit dan Itali, Alena Murang pula, perjalanan karier nyanyiannya bermula pada 2014 sewaktu genre muzik yang diperjuangkannya masih lagi asing bagi peminat muzik di Semenanjung.
“Ketika itu tiada lagi penyanyi di Kuala Lumpur yang melakukan seperti apa yang saya lakukan. Jadi saya tiada rujukan. Saya sendiri sampai sekarang tak tahu macam mana saya boleh sampai ke tahap ini.
“Tetapi saya bersyukur kerana saya rasa orang Semenanjung tertarik untuk tahu tentang sape dan Sarawak. Sebab itu mereka datang menonton persembahan saya. Mereka akan tanya saya banyak tentang Sarawak.
“Cabaran untuk penyanyi seperti saya adalah bagaimana mahu membawa muzik kami lebih daripada sekadar persembahan pada majlis pelancongan.
“Bagaimana mahu meletakkan muzik Borneo ke dalam industri muzik,” ujarnya.
Masa bergulir, pucuk dicita ulam mendatang. Siapa sangka usaha gigih mereka bertiga akhirnya dipandang Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) lalu diundang untuk mengadakan konsert Sounds Of Borneo yang akan berlangsung pada 7 September depan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP).
Lebih membanggakan, ini merupakan konsert pertama di DFP yang mengangkat lagu-lagu Borneo.
“Rasa macam tak percaya bila dihubungi pihak MPO dan ditawarkan membuat persembahan di tempat yang sangat berprestij seperti DFP.
“Akhirnya kami dapat mempersembahkan muzik dan budaya kami untuk masyarakat di semenanjung.
“Agak gementar juga tetapi dalam masa yang sama gembira dan teruja,” kata Velvet.
Marsha pula berharap agar konsert berkenaan dihadiri bukan sahaja pengunjung berasal dari Sabah dan Sarawak tetapi seluruh penduduk Malaysia.
“Tak pernah bermimpi untuk dapat buat konsert di DFP. Ini adalah kali pertama buat saya untuk membuat persembahan di sini.
“Kami sangat berbesar hati untuk berkongsi budaya dan muzik kami dengan rakyat Malaysia.
“Lebih menarik jika dapat lihat wajah-wajah yang tidak dikenali sewaktu konsert itu nanti selain orang-orang Borneo sendiri,” jelasnya Alena.
Dikenali sebagai penyanyi yang bermain sape, Alena tidak sabar untuk beraksi bersama kumpulan muzik orkestra di bawah kendalian pengarah muzik, Luqman Aziz.
“Saya teruja untuk melihat hasil gabungan muzik tradisional bersama orkestra.
“Dalam masa yang sama saya sedikit gusar kerana sebagai pemain sape, saya tidak menggunakan nota muzik. Berlainan dengan orkestra. Ini akan menjadi cabaran buat saya,” katanya. -HIBGLAM