TERBUKA menerima teguran gara-gara menjalani pembedahan rekonstruktif hidung, pelakon Zarina Anjoulie mengakui bersetuju melakukan prosedur tersebut di klinik di Vietnam demi menjana pendapatan.
Zarina atau nama sebenarnya Zarina Anjoulie Lavocah Mohd. Fahizul, 36, berkata, orang ramai diharap faham bukan niatnya mahu menunjuk-nunjuk, sebaliknya perkongsian dibuat adalah sebahagian daripada kontrak.
“Minta maaf semua, perkongsian saya bukan sebab nak buka aib atau tak hormat semua, ini kerana saya ditaja sepenuhnya ditambah mereka bayar saya untuk datang dan beri token.
“Harap faham ini punca rezeki saya walaupun tak banyak duit ini juga untuk saya bawa balik bayar yuran anak, yuran mengaji dan beli barang dapur, bukannya untuk saya beli beg atau (kerete) BMW nak tayang.
“Bukan saya post nak riak, ini kerja saya. Saya minta maaf kalau posting saya menyakitkan hati anda, tolong faham saya cuma jalankan tugas,” katanya dalam Instagram.
Sebelumnya ibu tunggal anak satu itu berkongsi sepotong video dipercayai ketika berada dalam bilik pembedahan yang menunjukkan keadaan hidung baharunya.
Menerusi itu, kelihatan keadaan batang hidungnya yang masih berbalut manakala bahagian lubang hidung disumbat dengan kapas.
Menurut Zarina atau mesra disapa Anju, pembedahan rekonstruktif tersebut berjalan lancar yang kini memerlukannya berehat untuk beberapa hari.
Katanya, hasil pembedahan tersebut berjaya kerana tiada lagi benjolan di tengah hidungnya sekali gus membuatkan lebih yakin menjalani pengambaran.
“Hidung saya dah tak ada benjol dekat depan, doktor dah ratakan bahagian itu dan sekarang kalau saya nak buat photoshoot atau bergambar lagi cantik dari sisi tepi,” ujarnya.
Begitupun, ramai pengikut meninggal komen berupa nasihat selain memaklumkan lebih suka bentuk hidungnya yang dulu kerana dianggap natural dan cantik.
Tidak kurang juga yang menyedari perubahan dilakukan adalah atas dasar memperbetulkan bonggol di tengah tulang hidungnya dulu.
“Alamak, hidung Anju yang dulu lebih elok terletak. Ini dah nampak nak jatuh,” kata seorang peminat.
“Sebenarnya dia bukan buat mancung, tapi buang yang tengah. Kalau tengok mancung sama sahaja, cuma dah tiada lagi benjol,” kata netizen lain.
Video memperlihatkannya bersama seorang doktor ketika melakukan prosedur tersebut kini tular dalam aplikasi TikTok. – HIBGLAM