Pelakon Tiz Zaqyah kesal dengan sesetengah pihak mempertahankan pemandu bas yang didakwa merakam video kanak-kanak bawah umur.
Tiz atau nama lengkapnya Siti Zaqyah Razak, 36, turut berkongsi pengalaman pahit rakannya yang pernah menjadi mangsa gangguan seksual oleh keluarga terdekat.
“Gila kalian ini, sedangkan bapa rogol anak dan bayi bersepah. Ini (kes pemandu bas) kau nak pertahankan apa lagi?
“Saya ada seorang kawan rapat yang ada sejarah hitam dengan pak cik dia sendiri.
“Semuanya bermula dari menyentuh bibir sehingga berciuman di sebalik pintu tertutup,” katanya menerusi aplikasi X.
Dalam masa sama, pelakon drama Nur Kasihitu turut memaklumkan bahawa kenalan rapatnya itu tidak mampu melakukan tindakan lanjut kerana mementingkan ikatan kekeluargaan.
“Dia tahu apa yang pak cik dia buat itu salah tetapi dia tak boleh menjerit kerana itu bapa saudara dia.
“Berapa lama dia menderita sehingga dia cukup ‘dewasa’ untuk keluar dari situasi itu,” ujarnya.
Selain Tiz, beberapa selebriti lain seperti Diana Danielle dan Uyaina Arshad lantang bersuara mengenai kes pemandu bas terbabit.
Sebelum ini, seorang pemandu bas ditahan polis dan direman selama lima hari sehingga 10 September selepas didakwa merakam video memaparkan wajah kanak-kanak terutamanya pelajar perempuan untuk dijadikan kandungan media sosialnya.
Perintah reman dibenarkan Majistret Suhaila Safi’uddin, selepas permohonan dibuat Mahkamah Majistret Batu Pahat, Johor. – HIBGLAM