Tito Jackson 5 sudah tiada

AHLI kumpulan pop tersohor Jackson 5 yang juga abang kepada Raja Pop Michael Jackson, Tito meninggal dunia pada usia 70 tahun, malam semalam.

Khabar duka itu disahkan anak-anaknya , TJ, Taj dan Taryll Jackson menerusi satu kenyataan rasmi dalam media sosial.

“Dengan hati yang berat, kami mengumumkan bahawa bapa kami yang tercinta, Rock & Roll Hall of Fame Tito Jackson, telah meninggalkan kami.

“Kami sangat terkejut dan amat berdukacita. Bapa kami adalah insan yang luar biasa dan mengambil berat tentang semua orang dan kesejahteraan mereka,” tulis kenyataan tersebut.

Difahamkan, Tito atau nama sebenarnya Toriano Adaryll Tito Jackson mengalami serangan jantung.

Tito yang dilahirkan pada 15 Oktober 1953 di Gary, Indiana Amerika Syarikat berbakat besar sebagai penyanyi dan pemain gitar.

Beliau adalah anak ketiga daripada sembilan bersaudara.

Bersama adik-beradiknya iaitu Jackie, Jermaine, Marlon dan Michael, mereka membentuk Jackson 5 yang menjadi fenomena global pada era 1970-an.

Kumpulan itu tampil dengan rangkaian lagu hit yang terus menjadi siulan hingga ke hari ini termasuk ABC, I Want You Back dan I’ll Be There.

Selepas Jackson 5, beliau meneruskan kerjaya solo, manakala anak-anaknya membentuk kumpulan R&B, 3T.

Keluarga turut memaklumkan upacara pengebumian mendiang bakal diadakan dalam tempoh terdekat. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok