Bukan bayi lelaki seperti sangkaan ramai namun, sebaliknya pelakon Datin Almy Nadia melahirkan anak perempuan kelima pada 18 September lalu.
Perkara itu disahkan suaminya, juga aktor dan penyampai radio Suria FM, Datuk Fizz Fairuz yang mendedahkan permata hati mereka dilahirkan secara normal dua minggu lebih awal dari tarikh jangkakan.
“Alhamdulillah, kami terima banyak ucapan dan doa daripada peminat. Malah ada yang cakap akhirnya dikurniakan anak lelaki selepas 10 tahun menunggu.
“Tapi hari ini biarlah saya maklumkan, kami timang anak perempuan yang kelima. Sejujurnya lelaki atau perempuan kami tetap bersyukur dengan rezeki Allah.
“Bukan mahu buat orang ramai berteka-teki atau rahsiakan jantina, cuma awal kelahiran tempoh hari saya sibuk menguruskan isteri, bayi dan anak-anak kami,” katanya yang menyertai Siri Jejalah Suria Kuasa 2 Yaya Empire di Angsana Johor Bharu Mall, Johor, semalam.
Pada masa sama, Fizz atau nama sebenarnya Mohd. Fairuz Zainal Abidin lega apabila urusan kelahiran dipermudahkan, bahkan Almy juga dalam keadaan baik dan kini sedang menjalani tempoh berpantang.
“Kalau nak diikutkan, tarikh Almy dijangka bersalin adalah pada 6 Oktober depan tetapi puteri kami lahir awal secara normal.
“Syukur semuanya dipermudahkan. Walaupin dua tiga minggu sebelum kelahiran, Almy sakit di bahagian bawah perut sehingga dia kena keluar masuk hospital.
“Ketika itu, dia belum boleh bersalin lagi kerana kandungan baru 35 minggu. Setiap kali rasa sakit, doktor akan bagi ubat demi memastikan keselamatan bayi.
“Jadi bila kandungan sudah masuk minggu ke-37 dan kami sekali lagi ke hospital untuk buat pemeriksaan, didapati sudah ada bukaan sebanyak dua sentimeter,” ujarnya.
Yakin keadaan isteri dan anak-anaknya dalam keadaan baik, Fizz menyertai rakan penyampai Suria FM yang lain untuk bertemu pendengar di selatan tanah air.
Terdahulu pasangan yang mendirikan rumah tangga pada tahun 2014 itu dikurniakan empat anak perempuan, Nur Afrina Arianna, 9; Nur Afrina Aurora, 8; Nur Afrina Ayra, 6; Nur Afrina Aisyah, 3, selain anak angkat, Nur Afrina Darwisyah yang kini berusia 15 tahun. – HIBGLAM