‘Tiada unsur seksual, babak berkemban itu seni’

PELAKON Sasqia menafikan babak berkemban dalam filem terbaharu lakonannya, Tafakur bertujuan menarik perhatian penonton ke pawagam.

Sebaliknya Sasqia atau nama lengkapnya Nurlisasqia Ahmad Dahuri, 39, memberitahu, babak tersebut merupakan sebahagian daripada karya seni pengarah naskhah itu iaitu Feisal Azizuddin.

Sasqia turut mengakui setelah lebih 10 tahun berkecimpung dalam industr, filem Tafakur merupakan karya pertama dia menjayakan babak berkembang sambil dimandikan aktor Syazani Zikry.

“Bagi saya babak berkembang itu adalah seni buat pengarah filem bebas (indie) seperti Feisal. Itu adalah pertama kali saya membawakan watak berkemban.

Walaupun saya bertindak sebagai penerbit bersama bagi filem ini, saya ingin tegaskan babak tersebut bukan bertujuan untuk melariskan filem.

“Kalau kita tonton babak itu bagi saya tiada unsur tarikan seksual. Sebaliknya ingin menggambarkan perasaan kekecewaan seseorang apabila kepercayaannya dikhianati,” katanya ketika ditemui dalam majlis Tayangan Perdana Tafakur, semalam.

Pada masa sama, Sasqia turut memaklumkan dia telah berbincang dengan pengarah dan membuat beberapa pertimbangan sebelum bersetuju melakonkan babak itu.

Kata Sasqia, awalnya dia berasa bimbang sekiranya babak tersebut tidak dibenarkan dan dipotong Lembaga Penapis Filem (LPF)

Saya ada merujuk pengarah untuk menjayakan babak itu. Kami ada berbincang dan saya tanya dia adakah babak ini akan berjaya?

“Bagi saya setiap keputusan akhir bergantung kepada pihak LPF dan Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia). Apabila dimaklumkan tiada masalah, jadi pada saya tiada masalah,” katanya.

Menganggap babak tersebut sebagai cabaran, Sasqia memberitahu pada awalnya dia ingin melakonkannya sambil menangis.

“Setelah berbincang pengarah kata, babak itu ingin menunjukkan saya ini seperti orang yang putus harapan dan keliru dengan apa yang berlaku.

Babak ini juga menggambarkan keadaan individu yang mengalami masalah tekanan mental. Pada saya isu kesihatan mental ini berat dan boleh berlaku kepada sesiapa saja,” katanya.

Selain Sasqia dan Syazani, filem terbitan Feisk Productions dan Stelo Infotainment itu turut dibintangi Luqman Hafidz dan Amylia Aidura.

Tafakur akan memulakan tayangan di pawagam bermula 19 September depan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok