‘Terus kuat Fattah, nakhoda kena pandai kawal taufan’

NAKHODA kena pandai kawal angin dan taufan. Terus kuat Fattah.”

Demikian pesanan pelakon Shamsul Ghau Ghau buat Fattah Amin yang kini bergelut dengan masalah rumah tangga.

Shamsul berharap selaku ketua keluarga suami kepada Fazura itu dapat mengendalikan kemelut yang melanda dengan bijaksana dan penuh kesabaran.

Kata Shamsul atau nama sebenarnya Shamsul Azahar Aliddin, 56, dugaan dalam perkahwinan merupakan lumrah yang dilalui setiap pasangan suami isteri.

Hidup berumah tangga juga ujian. Tak semua manis, tak semua pahit. Bahtera rumah tangga kadang-kadang kena taufan,” tulisnya dalam hantaran Insta Story.

Menerusi perkongsian sama, Shamsul turut mengingatkan hidup di dunia ini adalah tempat untuk ujian, manakala akhirat merupakan medan abadi.

Allah dah beritahu, jangan kata kamu beriman sebelum kamu diuji. Hidup ini tempat ujian. Akhirat tempat untuk berehat selama-lamanya,” tulisnya.

Terdahulu industri hiburan kecoh apabila pelakon Fazura memfailkan cerai terhadap Fattah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling pada 13 September lalu.

Tidak memperincikan punca kemelut, kemudian tular pula dakwaan pelakon Pendekar Awang itu curang dengan seorang wanita.

Mengakui masih menyayangi isterinya selain menolak dakwaan bermain kayu tiga, netizen menyarankan aktor terbabit memujuk teman hidupnya itu agar meneruskan perkahwinan mereka.

Fattah dan Fazura  yang mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya yang kini berusia empat tahun. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok