‘Tak sanggup lihat kesenian kita hilang ditelan zaman’

Bagi melindungi budaya dan warisan negara serantau, pelakon Arja Lee yang juga pengerusi badan bukan kerajaan Society Of Creative Symphony menemui formula dalam usaha melindungi budaya dan warisan serantau.

Pemilik nama lengkap Azharudin Ramli, 41, menghimpunkan wakil delegasi dari lapan buah negara Asia iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand, Cambodia, Laos, Myanmar dan China untuk berbincang kaedah terbaik memelihara keunikan budaya.

Menerusi persidangan ASEAN-CHINA Heritage DNA 2024 lalu, kami memperolehi sebuah dapatan formula dan juga rangka khusus dalam usaha melindungi warisan budaya serantau.

“Buah fikir ini akan dibawa kepada pembuat dasar di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Bukan itu sahaja, program ini secara tidak langsung merupakan usaha untuk kita sama-sama mengiktiraf keunikan budaya dan mencari jalinan persamaan antara negara untuk dikongsikan,” katanya kepada HibGlam.

Dalam masa sama, pelakon filem Sayu Yang Syukur itu turut memaklumkan usaha ini penting demi memastikan generasi baharu di negara asia dan China cakna mengenai nilai dan tradisi yang perlu dipelihara.

“Program ini amatlah penting dalam usaha melestarikan kesenian agung negara agar sentiasa diingati setiap generasi.

Kita tidak sanggup lihat kesenian kita hilang ditelan zaman.

“Syukur kerana kita pun telah mendapat perhatian pihak antarabangsa melalui Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan PBB (UNESCO). Sekarang kita akan memperkuat perjuangan bersama negara Asia dan kuasa besar China,” ujarnya.

Acara ASEAN-China Heritage Dimensions of National Arts (DNA) yang berlangsung di Kangar, Perlis itu turut dihadiri Tuanku Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Para delegasi turut dibawa kelas-kelas pakar, bengkel, persembahan budaya, dan lawatan kebudayaan ke tempat-tempat ikonik di Perlis seperti Muzium Kota Kayang, Batik Inderawasih, dan Ladang Harumanis Wanpa. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok