Tak sanggup berjauahan, Ayie Floor88 angkut anak ‘shooting’

TIDAK pernah berjauhan dalam tempoh lama, penyanyi Ayie Elham sanggup membawa puteri sulungnya, Nayla Amanda menjalani penggambaran filem Duyung: Legenda Aurora di Pulau Langkawi, Kedah minggu hadapan.

Ayie atau nama sebenarnya, Nik Fadlee Elhamshah, 27, tidak kisah ‘mengangkut’ permata hati walaupun harus mengeluarkan kos sendiri demi mengelakkan kerinduan kepada si kecil yang baru berusia dua tahun itu.

Saya akan bawa anak ke Langkawi untuk menjalani penggambaran Duyung: Legenda Aurora dengan menggunakan perbelanjaan sendiri.

“Anak saya perempuan, jadi dia memang sangat rapat dengan saya.

Saya ada fikir macam mana nak tinggalkan dia selama dua minggu sebab kalau berjauhan paling lama pun dua ke tiga hari sahaja, itu yang saya bawa juga,” katanya semasa sidang media Duyung: Legenda Aurora di Wetland Studios, Putrajaya baru-baru ini.

Vokalis kumpulan Floor 88 itu bakal memegang watak Dashmond iaitu anak kepada Jimmy (Saiful Apek) dan Aspalela (Yasmin Hanis) dalam filem sekuel Duyung kelak.

Selain itu, pelantun lagu Kau Roadblock Hatiku itu berharap peranan digalas dalam filem arahan Datuk Prof Ts. Dr A. Razak Mohaideen memberi kesan mendalam buat penonton.

“Apabila dapat tawaran agak gementar sebab saya tengok filem ini ketika berada dalam darjah lima.

Saya rasa ini satu penghargaan besar apabila diberi tanggungjawab berat untuk membawa nama duyung.

“Agak mencabar bagi diri saya, ini pengalaman baharu sebab sebelum ini saya hanya berlakon cerita yang agak ringan,” ujarnya.

Filem Duyung: Legenda Aurora bergenre komedi fantasi berkisar kemunculan semula Puteri yang memohon bantuan Jimmy menyelamatkan anaknya, Aurora yang ditangkap kumpulan pukat tunda haram.

Berdurasi 110 minit filem Duyung: Legenda Aurora akan memulakan penggambaran pada 13 September ini hingga 13 Oktober depan.

Filem ini dijangka menemui penonton pada suku tahun ketiga 2025. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok