‘Tak kisah orang cakap Osama, Zaki klon saya’

TAK ada masalah suara kedengaran sama, sudah nama pun anak dan bapa.”

Itu respons penyanyi popular Datuk Jamal Abdillah apabila ramai berpendapat dua anaknya iaitu Yamani Abdillah, 22, dan Zaki Yamani, 18, tidak mempunyai identiti sendiri kerana menyanyi seperti lenggok suaranya.

Tidak melenting, Jamal, 65, berkata, perkara tersebut bukan satu isu besar ditambah pula bakat seninya pasti akan mengalir dalam diri anak-anaknya.

“Macam Osama Yamani, kalau menyanyi memang sebiji dengar seperti suara. Zaki pula semakin dewasa, semakin bertambah sama dengan saya.

Sebenarnya mereka tak boleh nak lari sebab kami bapa dan anak. Kalau tengok Allahyarham Saleem dan anaknya, Syafiq Farhain pun begitu, memang akan ‘bunyi’ sama juga,” katanya kepada HibGlam selepas sidang media Konsert Amal Night Of Love & Compassion di sini, baru-baru ini.

Dalam pada itu, pelantun lagu Gadis Melayu itu tetap mahu Yamani dan Zaki mencari identiti sendiri meskipun mengakui sukar untuk lari daripada ‘bunyi’ seorang Jamal Abdillah.

Mahu atau tidak, mereka juga pula perlu mencari kreativiti dan inisiatif untuk mengalirkan nyanyian dengan cara tersendiri.

“Tapi, lari macam mana pun, bapa punya ‘bunyi’ nyanyian pasti ada,” ujarnya lagi.

Dia juga tidak kisah apabila ada yang melabel dua anaknya itu sebagai ‘klon Jamal Abdillah’.

“Tak mengapa orang nak cakap mereka klon saya sebab memang anak-beranak.

Saya tidak melihat mereka berdua menumpang populariti saya pun.

“Cuma, mereka perlu fikirlah sampai bila hendak jadi pengikut, pastinya mereka juga ada haluan yang mahu dicapai,” tuturnya lagi. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok