MENZAHIRKAN rasa syukur dan gembira, usahawan selebriti terkenal Neelofa berterima kasih kepada suami yang banyak memberi sokongan serta dorongan dalam usaha mendekatkan diri kepada Tuhan.
Kata Neelofa atau nama lengkapnya Noor Neelofa Mohd. Noor, 35, selain suami, dia turut dikelilingi ahli keluarga yang sering mengajak melakukan kebaikan.
Selain suami yang banyak memberi galakan tentang agama, saya juga mempunyai ramai sepupu dan ibu saudara yang sangat konsisten melakukan aktiviti seperti zikir dan solat tahajut.
“Apabila kita mempunyai pasangan, kawan-kawan atau keluarga yang boleh mengajak ke arah kebaikan, itu sangat membantu,” katanya dalam sebuah video yang dikongsikan dalam TikTok.
Neelofa memberi reaksi itu ketika menjawab pertanyaan suaminya, Haris Ismail tentang istiqamah dalam melakukan kebaikan ke jalan Allah dan mengenakan hijab.
Tambahnya, setiap individu pasti berdepan dengan ujian dan dugaan sehingga mengakibatkan tahap keimanan mereka turun naik.
“Memang itu boleh dikaitkan dengan saya. Itulah realiti kehidupan apabila sekejap kita akan merasakan iman dalam keadaan baik, sekejap tidak.
Sekejap saya akan merasakan solat rasa khusyuk, sekejap tidak manakala sekejap rasa seperti membuak-buak untuk melakukan pelbagai amalan.
“Itu adalah lumrah kehidupan manusia apabila kita diuji dan dihasut (dipengaruhi),” katanya.
Pelakon drama Red Velvet itu turut berkongsi tentang kisah silamnya yang jarang membaca al-Quran.
“Saya bercerita tentang kisah saya. Al-Quran ini sebenarnya kalau kita tinggalkan dia, dia akan lebih jauh tinggalkan kita.
Saya pernah berada dalam situasi itu, saya pernah tinggalkan al-Quran sehingga bertahun-tahun rasa susah untuk membacanya. Walaupun pada bulan Ramadan, tetap berasa berat (sukar) untuk membaca,” jelasnya.
Bagaimanapun, dalam video tersebut Haris memuji tahap bacaan al-Quran Neelofa yang lancar dan meluahkan rasa syukur terhadap usaha isterinya itu.
Terdahulu Neelofa mengambil keputusan untuk memakai tudung pada Ramadan 2014 dan mengenakan niqab sekitar empat tahun lalu. – HIBGLAM