LAYAKKAH Anna Jobling jadi juri?
Itu persoalan yang menjadi pertikaian netizen selepas Anna atau nama sebenarnya Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman, 24, diumumkan sebagai juri program Muzikal Lawak Superstar musim ke-4 (MLS4).
Bukan sahaja netizen, malah ada artis senior turut dilihat secara terbuka mempersoalkan pemilihan Anna.
Antara yang dilihat mempersoalkan pemilihan Anna ialah Didie Alias.
“Anna Jobling? Ramai lagi ‘otai’ kot. Okey mungkin untuk tujuan komersial,” komen Didie.
“Anna Jobling tak layak langsung jadi juri. Baru setahun jagung dalam industri. Ramai lagi yang layak,” komen salah seorang netizen.
Menjawab kritikan yang dilemparkan kepadanya, Anna berkata dia berharap orang ramai memberinya peluang.
“Saya anggap peluang menjadi juri untuk MLS4 adalah rezeki buat saya. Ini adalah kali pertama saya menjadi juri. Setiap perkara yang kita lakukan dalam dunia ini pasti ada momen pertama kali.
“Saya harap orang di luar sana memberi saya ruang dan peluang untuk belajar lebih banyak perkara.
“Soal kecaman netizen, saya rasa bukan saya seorang sahaja yang kena. Saya harap kita semua dapat ‘enjoy’ menonton program ini,” katanya ketika ditemui pada sidang media Muzikal Lawak Superstar 4 di sini, semalam.
Sementara itu Ketua Saluran Astro Warna, Norzeha Mohd Salleh berkata Anna dipilih sebagai juri bagi mewakili penonton.
“Program ini sendiri kita menggabungkan pelawak dan bukan pelawak dalam satu kumpulan.
“Jadi, dalam kalangan barisan juri juga kita terapkan konsep yang sama. Anna akan ditemani dua ‘otai’ dalam bidang komedi iaitu Saiful Apek dan Harith Iskander.
“Kriteria penjurian oleh setiap juri juga berbeza. Dengan adanya Anna, dia adalah wakil daripada penonton yang mewakili kita semua,” ujarnya.
MLS4 bakal memulakan siarannya pada 22 September depan dan disertai 10 kumpulan.
Antara yang terlibat pada musim kali ini ialah Puteri Sarah Liyana, Zulin Aziz, Ali Puteh, Harris Anuar, Danial Zaini, Fad Bocey dan ramai lagi. -HIBGLAM