BIARPUN ‘berpencak’ atas skala kecil, pementasan teater Andak Bertandak wajar mendapat tepukan ‘hormat’ daripada penonton yang hadir.
Berlangsung selama empat hari bermula 29 Ogos hingga 1 September lalu di Pentas 2, The Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPAC), persembahan dimulakan dengan pemandangan rumah kampung yang menjadi lokasi penting berlakunya pelbagai peristiwa lucu, seram dan tahayul melibatkan amalan kepercayaan mistik alam ghaib.
Jenaka bersahaja lakonan Ellie Suriati, Azhan Rani dan Jay Iswazir nyata memberi impak besar sepanjang pementasan.
Gaya santai pelakon Riena Diana di samping Fadhli Masoot dan Razman Mahayuddin turut membuat penonton tidak kering gusi dan tidak henti bergelak ketawa.
Kemunculan Aizat Saha membuatkan pentas sedikit gamat dengan sorakan dan jeritan. Kehadirannya secara tidak langsung menjadi ‘pemanis’ kepada naskhah arahan Azhar Zainal tersebut.
Biarpun kelihatan jelas Aizat sudah berusaha untuk memberikan yang terbaik, namun disebabkan kebanyakan dialog dan watak sebagai seorang doktor, membuatkan pentas sedikit serius terutama ketika babak Dr. Zali menjelaskan jenis-jenis tisu yang ada pada badan manusia.
Meskipun penuh fakta, penonton tetap terhibur apabila sesekali Azhan dan Jay mencelah dan berjenaka. Begitu juga tatkala kemunculan Dottie yang pada awalnya dilihat sedikit hambar.
Setelah 10 minit di atas pentas, barulah kedengaran suara gelak ketawa penonton apabila melihat gelagatnya minum air di dalam mangkuk.
Sebagai salah seorang pelakon utama, Ellie berkata, naskhah tersebut bukan bertujuan untuk mempersendakan pesakit kanser payudara.
Sebaliknya, pementasan berkenaan ingin mendidik khalayak tentang daya pemikiran segelintir masyarakat yang mempercayai perkara tahayul sehingga menolak perubatan moden tanpa sebab yang munasabah.
“Apa yang saya ingin tegaskan di sini adalah kita tidak memperlekehkan pesakit barah payudara. Tetapi, cerita ini merupakan gambaran kepada masyarakat kampung yang menolak perubatan moden.
“Biarpun dunia sekarang sudah penuh dengan pelbagai teknologi, namun ada antara kita yang tetap mempercayai amalan syirik dan menolak sepenuhnya rawatan moden sehingga terlewat untuk mendapat rawatan,” terangnya.
Teater Andak Bertandak mengisahkan Kiah yang mengadu mengalami sakit pada bahagian dada selain mempunyai benjolan.
Disebabkan bimbang, orang tuanya, Pak Andak dan Mak Andak berusaha untuk mendapatkan khidmat bomoh Pawang Salleh kerana percaya anak mereka terkena buatan orang. – HIBGLAM