PETALING JAYA – TIDAK kisah berulang-alik antara Malaysia dan Indonesia, pelakon Anna Jobling itu langkah positif untuknya mencipta nama di peringkat antarabangsa.
Anna atau nama lengkapnya nama lengkapnya Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman, 24, turut meluahkan rasa syukur apabila filem pertama pertama lakonannya di republik itu bertajuk Lembayung mendapat sambutan baik sekali gus telah membuka lembaran baharu dalam kembara seninya.
“Sokongan peminat dan peluang besar yang diterima membuat saya berharap agar dapat menonjolkan bakat lakonan di kedua-dua negara.
Selepas Lembayung, saya tidak sangka akan menerima tawaran membintangi tiga lagi filem daripada produksi berbeza di Indonesia,” katanya.
Pada masa sama, Anna yang hadir ke acara Tayangan Perdana Lembayung di Indonesia minggu lalu turut terharu dengan reaksi peminat yang menyambut baik kehadirannya.
“Sambutan baik daripada peminat terhadap filem Lembayung buat saya rasa terharu dan teruja. Terima kasih kepada peminat yang terus menyokong kerjaya seni saya.
Saya sangat terharu dan bersyukur dengan kepercayaan diberikan industri perfileman Indonesia. Saya anggap ini peluang besar untuk kembangkan bakat dan karier di negara itu,” katanya.
Anna turut menzahirkan terima kasih kepada aktor Baim Wong kerana telah membuka peluang buatnya membina nama di negara seberang.
“Baim bukan sahaja pengarah berbakat tetapi juga mentor yang banyak membantu saya.
“Saya berterima kasih kepadanya kerana membuka peluang untuk terlibat dalam projek yang besar seperti ini dan telah membuka pintu rezeki saya di Indonesia.
“Saya berharap dapat membintangi lebih banyak karya bermutu, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di Indonesia. Ini adalah fasa baru dalam karier saya dan akan terus bekerja keras untuk mencapai kejayaan lebih besar,” katanya.
Lembayung merupakan filem seram arahan Baim Wong yang dibintangi Anna, Taskya Namya, Yasamin Jasem, Arya Saloka, Daffa Wardhana, Mario Maulana dan Oka Antara. – HIBGLAM