PELAKON sensasi Nur Fazura memilih untuk tidak memberikan komen mengenai pelbagai andaian berkaitan kemelut rumah tangganya dengan Fattah Amin bagi mengelakkan sebarang spekulasi liar.
Malah, Fazura atau nama sebenarnya, Nur Fazura Sharifuddin berkata, dia terus kekal tenang dengan ujian yang menimpa apabila nekad memfailkan cerai pada 13 September lalu.
Tiada apa-apa yang hendak saya komen hari ini. Sebagai isteri dan ibu saya hanya mahukan yang terbaik.
“Berdiam lebih baik. Keadaan saya tenang sahaja,” katanya ketika ditemui selepas sebutan permohonan cerai terhadap suaminya, Fattah Amin di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, hari ini.
Pada prosiding yang berlangsung di hadapan Hakim Syarie Abdul Malek Soleh itu, Fattah turut hadir dengan cadangan perbincangan tentang perceraian mereka.
Menurut peguam syarie yang mewakili Fazura iaitu Fakhrul Azman Abu Hassan pihaknya akan meneliti cadangan tersebut sebelum sebutan semula kes pada 7 Oktober depan.
Kami terima satu cadangan daripada pihak Fattah berkaitan permohonan. Cadangan itu tidak boleh didedahkan dan kami akan meneliti terlebih dahulu.
“Kedua-dua pihak akan berbincang untuk selesaikan secara baik tanpa melibatkan Jawatan Kuasa Pendamai (JKP),” jelasnya.
Fazura, 41, dan Fattah, 33, mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017.
Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya, 3. – HIBGLAM