‘Saya minta maaf’ -Yoo Ah-in dipenjara setahun

PELAKON terkenal Korea Selatan, Yoo Ah-in dijatuhkan hukuman penjara selama setahun selepas didapati bersalah menggunakan dadah anestetik propofol secara haram.

Yoo atau nama sebenarnya Uhm Hong-sik, 37, dituduh menggunakan propofol sebanyak 181 kali antara tahun 2020 sehingga 2022.

Berdasarkan pertuduhan, dadah tersebut diberikan klinik berlesen dengan alasan sebahagian daripada prosedur kosmetik.

Terdahulu, pendakwaraya meminta Mahkamah Daerah Seoul Tengah menjatuhkan hukuman penjara empat tahun kepada pelakon drama bersiri Hellbound itu.

Dia didapati bersalah atas semua pertuduhan pembelian dadah,” kata hakim dalam keputusannya.

Mahkamah menyatakan bahawa Yoo telah melakukan kesalahan itu dengan mengabaikan peraturan berkaitan dan menunjukkan kurangnya perhatian terhadap bahan terlarang.

Seorang doktor yang memberikan propofol kepada Yoo tanpa preskripsi yang sah dikenakan denda sebanyak 40 juta won (RM129,204) bulan lalu.

Propofol, walaupun digunakan terutamanya sebagai anestetik pembedahan kadang-kadang disalahgunakan secara rekreasi, sering membabitkan profesional perubatan yang mungkin memberikannya tanpa keperluan klinikal yang sah.

Lebihan dos dadah terbabit juga disebut sebagai punca kematian bintang pop Michael Jackson pada 2009.

Saya minta maaf kerana telah menimbulkan kebimbangan kepada ramai orang,” kata Yoo di mahkamah.

Yoo mula terkenal di Korea Selatan selepas debutnya pada 2003 berlakon dalam pelbagai genre drama televisyen dan filem sekali gus menjadi antara pelakon paling popular di negara itu.

Perbicaraan tersebut juga merupakan skandal dadah terbaharu yang melanda Korea Selatan.

Sementara itu, bintang K-pop G-Dragon turut menghadapi tuduhan penggunaan dadah dan disoal polis tetapi kes itu digugurkan pada November lalu kerana kekurangan bukti. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok