Saya masih ‘hidup’– Uchop

SELEPAS menjuarai pertandingan nyanyian Vokal Bukan Sekadar Rupa (VBSR) pada 2012 kelibat penyanyi dengan nama pentas Uchop seperti tenggelam timbul di sebalik bakat besar yang ada pada dirinya.

Menurut Uchop, selepas memenangi pertandingan yang menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM100,000 tersebut, dia juga seperti artis baharu lain yang merintis jalan untuk berjaya seperti penghibur lain.

“Di sebalik kemilau glamor dunia artis saya masih ‘struggle’ untuk menjual bakat dengan lagu yang saya hasilkan.

“Apa yang pasti saya masih ada dalam industri, kini mengikut trend aktif dalam TikTok dan Facebook, cuma kurang mendapat tawaran persembahan besar.

“Namun ikhlas saya katakan, penyanyi tanpa lagu di radio sememangnya sukar dikenali.

“Apabila lagu kita tidak dimainkan, seolah-olah kita sudah tiada lagi dalam industri,” katanya ditemui di Warisan Hall Studio Kampung Sijangkang baru-baru ini.

Lagu baharu

Uchop atau nama sebenarnya Mohammad Yusof Ahmad berkata, walaupun ada mengeluarkan lagu baharu, namun dendangannya sukar didengar, terutama pada waktu puncak.

“Saya tidak pasti mengapa lagu penyanyi lain boleh disiarkan serentak di beberapa stesen radio pada waktu siang sedangkan lagu saya pada pukul 2 atau 3 pagi.

“Adakah kerana wujud amalan kroni seperti dalam lain-lain bidang sehingga artis seperti saya terpinggir.

“Disebabkan kecewa saya lebih suka mendengar stesen radio Klasik.FM yang mempunyai pelbagai genre lagu.

“Saya tidak pasti adakah dalam industri ini, artis realiti televisyen seperti saya dan rakan yang lain disekat untuk naik tanpa sebab munasabah,”ujarnya.

Mengulas mengenai hadiah kemenangan VBSR yang diterima dahulu, Uchop sedikit kesal kerana tidak melaburkan wang tersebut untuk memajukan nyanyiannya.

Tambah penyanyi yang terkenal dengan single, Jujurlah Padanya itu, walaupun tanpa banyak liputan media, dia berazam untuk terus memperjuangkan nyanyian dan berada dalam kelompok yang menghargai bakatnya.

“Saya berharap berilah peluang kepada artis seperti saya. Mengapa artis atau ‘influencer’ yang viral dan boleh bawa ‘crowd’ dipanggil untuk membuat persembahan sedangkan bakat seni suara tidak sehebat mana.

“Saya faham artis sedemikian ada ‘content’ dan ramai pengikut. Namun saya sebagai penyanyi mempertaruhkan bakat dan kualiti suara,” katanya penuh pengharapan. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok