‘Saya jamin Bocey tidak akan berpecah’

NAFI berselisih faham dengan Achey Bocey, pelawak dan pelakon Fad Bocey menolak dakwaan kumpulan Bocey telah berpecah dan membawa haluan masing-masing.

Fad atau nama penuhnya, Muhammad Fadzlie Mohd Nizam, 33, menegaskan hubungannya dengan Achey tiada masalah malah aktiviti Bocey masih berjalan seperti biasa.

“Hanya kerana saya menyertai program Muzikal Lawak Superstar musim keempat (MLS4) bersama artis lain bukan bermaksud Bocey sudah berpecah.

Saya dan Achey masih lagi anggota rasmi Bocey dan kami tetap akan terus bersama sebagai kumpulan Bocey walaupun saya menyertai kumpulan lain dalam rancangan lawak.

“Saya tetap sebagai Fad Bocey dan berani jamin bahawa kumpulan Bocey tidak akan berpecah,” katanya kepada HibGlam.

Membuat persembahan bersama Namie Ubi dan Aretoy di pentas MLS4, Fad berkata, bagi menyertai rancangan tersebut dia perlu tampil bersama ahli kumpulan berbeza.

“Achey sudah sedia maklum dengan peraturan rancangan ini yang tidak membenarkan ahli sama untuk masuk bertanding. Walaupun Achey tidak bersama dengan saya, kami tetap berhubung dan saling membantu.

Saya pun ada bercakap dengan Achey dan meminta bantuan tentang idea persembahan. Dia membantu dan kami tiada masalah. Mungkin kerana ada kumpulan pelawak lain bermasalah menyebabkan perkara itu terpalit kepada kami.

“Bagi saya apa yang berlaku, masyarakat hanya menilai semua itu berdasarkan luaran. Walaupun tidak bersama, sebenarnya mereka tiada masalah seperti rakan artis yang saya rapat iaitu kumpulan Jozan (Johan dan Zizan Razak) dan Puteh (Ali Puteh dan Mamak Puteh),” jelasnya.

Sementara itu, perkembangan lain Bocey akan membuat persembahan komedi di Singapura pada 30 November depan.

Peluang membuat persembahan di republik itu secara tidak langsung membuktikan bahwa kumpulan Bocey masih bersama dan relevan dalam industri.

Ini merupakan persembahan saya dan Achey sebagai Bocey yang pertama di luar negara setelah Allahyarham Abam meninggal dunia. Saya sangat bersyukur dengan peluang ini.

“Kami akan membuat persembahan secara muzikal dan sketsa pendek di Capitol Theatre Singapore. Ini semua hasil usaha kami mengadakan audio siar (podcast) Bocey Comaback,” katanya.

Terdahulu kumpulan Bocey yang hampir 10 tahun terlibat dalam industri seni itu dinobatkan sebagai juara Maharaja Lawak Mega 2016.

Bocey kini hanya tinggal berdua selepas Allahyarham Abam atau atau nama sebenarnya, Syed Umar Mokhtar Al-Juffrey Syed Mohd Ridzuan Al-Juffrey meninggal dunia pada 10 Februari 2020 di kediamannya akibat demam panas dan sakit kepala. – HIGBLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok