‘Saya hubungi isteri Zamarul sebelum penggambaran, ini adab’

SEBELUM memulakan penggambaran saya  hubungi Diana. Kena buat kerana ini adab apabila berlakon dengan suami orang.”

Demikian kata pelakon dan pengacara popular, Che Puan Sarimah Ibrahim, 45, yang mengambil pendekatan menghubungi isteri Zamarul Hisham sebelum memulakan penggambaran drama terbaharu, Ternyata Sebuah Bahagia.

Bergandingan dengan Zamarul sebagai pasangan suami isteri, Sarimah berkata penting untuk dia memberitahu Diana Rafar tentang apa yang bakal dilakukannya di set penggambaran.

“Saya beritahu Diana bahawa ada babak yang melibatkan kami berpegangan. Dia cakap dia faham dan okey.

Kemudian dia pula bertanya sama ada suami saya sendiri okey atau tidak jika Zamarul pegang saya,” katanya ketika ditemui pada sidang media drama Ternyata Sebuah Bahagia, semalam.

Tambah pelantun lagu Kini Kau Tiada itu lagi, apabila sudah mendapat keizinan pasangan masing-masing proses lakonan lebih mudah.

“Bila di set penggambaran kami rasa lebih bebas. Dalam masa sama tidak melampaui batas kerana masing-masing memikirkan tentang perasaan pasangan.

Apabila melibatkan babak bersentuhan dan perasaan yang mendalam, bahaya kalau kita tidak meletakkan batas. Kena beringat bahawa kita isteri orang atau suami orang.

“Apa-apa perasan yang dirasai sewaktu penggambaran hanyalah rekaan. Jangan terbawa-bawa.

Mencipta ‘chemistry’ (keserasian) biarlah dalam set sahaja. Bila pengarah kata ‘cut’ masing-masing bahawa haluan sendiri. Saya ada suami dan awak ada isteri,” jelasnya.

Bercerita mengenai pengalaman bergandingan dengan Zamarul buat pertama kali, kata Sarimah masing-masing berjaya mencipta keserasian sejak hari pertama penggambaran.

“Alhamdulillah sejak saya membuat kemunculan semula dalam bidang lakonan, saya dapat pasangan berlakon yang hebat. Jika sebelum ini dengan Datuk Adi Putra dalam drama Lelaki Itu, terbaru Zamarul Hisham.

Zamarul seorang yang sangat hebat. Babak pertama kami adalah babak yang sangat berat. Saya tengok mata dia, dia tengok mata saya tiba-tiba dua-dua menangis.

“Mungkin sebab kami berdua sama-sama matang dan punya pengalaman dalam hidup. Saya tahu apa yang dia fikirkan dan dia tahu apa yang saya fikir,” kongsinya.

Drama Ternyata Sebuah Bahagia sebanyak 40 episod terbitan Suhan Movies turut dibintangi Datin Elvina Mohammad, Azah Aziz, Lorenzo Irmann dan ramai lagi mula ditayangkan di saluran Astro Prima pada 23 September setiap Isnin hingga Jumaat pukul 6 petang. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok