LEBIH 10 tahun menetap di Kelantan, pelakon veteran Kamarool Haji Yusoff atau lebih dikenali sebagai Cik Man akui sudah terbiasa berulang-alik ke Kuala Lumpur.
Menurut pelakon berusia 67 tahun itu, dia lebih selesa tinggal di Kelantan berbanding Kuala Lumpur.
“Perjalanan dari Kelantan ke Kuala Lumpur paling lama pun lima jam, paling cepat empat jam.
Seorang seniman perlu duduk jauh. Ini kerana sepanjang perjalanan ada perkara yang boleh kita fikir sebagai ilham.
“Saya memandu sendiri ke Kuala Lumpur. Saya anggap memandu sebahagian daripada senaman. Biarpun ramai yang mempertikai usia sebegini masih mampu ke nak memandu jauh penglihatan masih baik atau tidak,” katanya kepada HibGlam.
Biarpun mempunyai rumah sendiri di Kuala Lumpur namun kata pelakon filem Rock itu, dia lebih selesa menginap di hotel setiap kali ke Kuala Lumpur atas urusan kerja.
Selalunya kalau ada penggambaran di Kuala Lumpur, pihak produksi akan sediakan penginapan. Duit minyak juga disediakan.
“Jadi tiada masalah untuk saya dari segi kos untuk ulang-alik dari Kelantan,” ujarnya.
Bercakap mengenai kerjaya, kata Cik Man sehingga kini dia masih dihujani tawaran lakonan namun lebih selektif dalam memilih watak.
“Alhamdulillah rezeki dalam bidang lakonan masih ada. Cuma saya agak selektif. Kalau boleh saya tidak mahu melakonkan watak yang sama.
Saya mencari naskah yang baik seperti karya-karya yang dihasilkan Allahyarham Mamat Khalid atau Aziz M Osman. Sekarang kita kekurangan skrip yang bagus.
“Banyak juga tawaran yang saya tolak. Pada usia sebegini saya lebih suka pilih kerja yang lebih mudah seperti menjadi duta produk, ” katanya yang dilantik menjadi duta senior jenama minyak wangi Yaya Empire.
Ditanya adakah faktor bayaran yang rendah sebagai pelakon menjadikannya lebih selesa memilih untuk menjadi duta produk, kata Cik Man wang bukan menjadi ukuran.
“Kalau ikut harga bayaran dah lama saya berhenti berlakon. Tahun ini sudah 45 tahun saya menjadi anak seni.
“Saya pun sudah tua. Tugas sebagai duta produk lebih santai. Saya dibawa untuk bertemu peminat.
“Kalau ada tawaran berlakon pun saya lebih suka pilih watak penampilan khas tetapi meninggalkan impak kepada penonton,” kongsinya.
Sebagai duta Yaya Empire, Cik Man akan turut terlibat dengan Siri Jelajah Suria FM Kuasa 2 di empat lokasi yang akan bermula pada 7 September ini di Bukit Mertajam, Pulau Pinang. – HIBGLAM