PELAKON Nora Danish dilambung pujian apabila mengambil inisiatif mengajak pengikutnya dalam media sosial untuk sama-sama menghafal surah al-Mulk.
Masih dalam proses belajar, Nora atau nama sebenarnya Nora Mohd Danish Hanif, 42, berkata, dirinya kini sedang berusaha menghafal surah tersebut biarpun hanya baru berjaya mengingati lima baris ayat.
Hi, Assalamualaikum semua. Saya sekarang sebenarnya dalam percubaan untuk menghafal surah al-Mulk.
“Harap dengan perkongsian video ini membuka ramai hati orang di luar sana untuk sama-sama menghafal surah ini dengan saya.
Saya baru sahaja hafal ayat 1 hingga 5, jom kita lumba nak sama-sama menghafal. Jom dengar saya membaca, tolong semakkan,” katanya menerusi sebuah hantaran video yang dimuat semula peminatnya dalam TikTok.
Tersentuh melihat perubahan Nora, rata-rata netizen memuji usaha pelakon filem Sayu Yang Syukur itu selain disifatkan sebagai inisiatif murni mengajak orang ramai turut sama berbuat pahala.
“Semoga kita semua istiqamah untuk menghafal surah-surah al-Quran. Suka tengok Nora sekarang, bijak dia gunakan pengaruh ke arah kebaikan,” komen seorang netizen.
Teruskan usaha murni ini untuk ajak pengikut awak buat kebaikan. Pahala juga mengalir kepada kita, insya-Allah sama-sama kita perbaiki diri,” demikian komen seorang pengguna media sosial.
Sebelum ini, Nora mengakui rutin menghadiri majlis ilmu sejak Mei tahun lalu semakin menguatkan keinginannya untuk bertudung dan berubah menjadi muslimah lebih baik.
Katanya, niat mengenakan hijab sudah tercetus sejak usia mencecah angka 40, namun ketika itu hatinya masih berbolak-balik atas beberapa sebab. – HIBGLAM