Sanggup gemuk demi watak

SESETENGAH watak dalam drama atau filem memerlukan transformasi fizikal seperti potongan rambut baharu, penggayaan solekan dan bahkan, ada karakter yang memerlukan penambahan atau penurunan berat badan.

Kebanyakan pelakon sanggup berkorban demi menonjolkan peranan dikehendaki pengarah sekali gus menunjukkan dedikasi tinggi terhadap seni lakonan sehingga sanggup berbuat apa sahaja demi komitmen peranan dipertanggungjawabkan.

Ada juga sesetengah penggiat seni tidak sanggup mengambil risiko kerana beberapa faktor sampingan.
Kali ini, Daebak membawakan beberapa nama pelakon yang berani menggemukkan badan demi watak yang mahu dijayakan.

Han So-hee

BAGI menjayakan komitmen dalam drama berjudul My Name, Han So-hee sanggup menaikkan berat badan sehingga 10 kilogram (kg).

Pelakon berusia 30 tahun itu mengakui pai coklat merupakan makanan yang membantu penambahan beratnya secara drastik.

Dalam masa sama, otot yang dibina daripada senaman juga membantu menaikkan berat badan demi menjayakan watak Yoon Ji-woo.

Bagaimanapun, So-hee turut memaklumkan agak tertekan sepanjang menyiapkan projek tersebut kerana memerlukan kekuatan luar biasa untuk menamatkan lakonan drama tersebut.

Gong Seung-yeon

DEMI menghidupkan watak Mi-na, pelakon Gong Seung-yeon sanggup menambah berat sebanyak 8kg dalam filem Handsome Guys.

Pemilik nama sebenar Yoo Seung-yeon itu mendedahkan bahawa dia mahu menunjukkan sisi berbeza muncul sebagai pelajar kolej.

Berkongsi lanjut, Seung-yeon memaklumkan dia kerap mengunjungi trak makanan dan tidak bersenam untuk menaikkan berat badannya secara pantas.

Bagaimanapun, selepas habis penggambaran, pelakon berusia 31 tahun itu berjaya mendapatkan kembali bentuk badan ideal.

Krystal

MEMAINKAN watak sebagai wanita hamil, penyanyi Krystal perlu menambah berat badan dalam filem komedi, More Than Family.

Dalam satu temu bual, ahli kumpulan f(x) itu memaklumkan sutradara Choi Ha-na memintanya berhenti berdiet dan mengambil pemakanan tidak seimbang.

“Saya pergi makan banyak dengan pengarah. Setiap hari saya akan makan tiga ke empat kali,” katanya dalama satu temu bual.

Lee Sung-kyung

PEMINAT K-Drama mesti sudah menonton drama popular Weightlifting Fairy Kim Bok Joo lakonan Lee Sung-kyung.

Rupa-rupanya, dia menaikkan berat badan sebanyak 10kg dalam masa 15 hari semata-mata mahu menjayakan watak Kim Bok-joo.

Hal tersebut kerana wanita berusia 34 tahun itu memiliki jadual padat apabila baru menyelesaikan penggambaran drama The Doctors dua minggu sebelum memasuki set penggambaran.

Malangnya, kenaikan berat badan mendadak itu menjejaskan kesihatan Sung-kyung apabila dia mengalami masalah pencernaan sehingga meninggalkan kesan ‘stretch mark’ (tanda regangan kulit). – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok