Runsing kerap dikecam, dikritik netizen –  Siti Jamumall

Saya juga tidak tahu apa yang saya telah buat. Kalau saya buat salah silap, saya minta maaf.”

Itu reaksi pempengaruh dan usahawan Siti Jamumall apabila dia kerap menerima kecaman dan kritikan daripada netizen. 

Sedar diri tidak sempurna, pemilik nama lengkap Siti Suriani Wahiddin, 25, itu mengharapkan  netizen dapat melupakan kekhilafan lampau dan membuka lembaran baharu. 

Malah, dia juga akan tetap fokus menghasilkan konten dalam media sosial biarpun perlu berdepan dengan kritikan dan kecaman. 

“Mungkin ada kesalahan di mana-mana yang membuatkan netizen marah. Sebelum ini pernah kecoh dengan duit palsu dan pelbagai insiden lain. 

“Biarpun sudah dijelaskan, namun mereka tetap melihat saya salah. Tidak mengapa kerana saya terima saja. Perkara itu pun sudah kerap berlaku dan saya tidak terlalu fokus. 

“Daripada saya memberi tumpuan kepada kritikan, lebih baik saya teruskan kehidupan ini dengan fikiran yang positif. Kalau asyik fikir hal negatif, nanti susah untuk buat perkara baik,” terangnya. 

Berbicara lanjut mengenai kecaman, Siti mengakui kecaman yang diterima dalam media sosial secara tidak langsung memberi kesan kepada pengurusan perniagaan dirinya dan suami iaitu Aiman Tak Kesah atau nama sebenarnya Khairul Aiman Abdul Kudus, 21. 

Akui Siti, biarpun insiden tersebut memberi impak kepada mereka berdua, namun dia dan suami masing-masing memilih untuk berfikiran positif dan tidak terlalu memberi tumpuan kepada kritikan. 

“Kecaman di media sosial itu tentu ada memberi kesan kepada kami. Tetapi cara untuk mengatasi itu ialah bagaimana kami ingin mengubah kebencian kepada suka. 

“Biarpun orang benci, jangan berputus asa dan teruskan berbuat baik. Kalau orang benci, kita berbuat baik sampai mereka suka dengan kita. 

“Bagi saya jangan terlalu fokus kepada individu yang benci kerana hal itu akan membuatkan kita stres. Jadi, lebih baik berikan tumpuan kepada mereka yang menyokong supaya dapat menarik lebih banyak perkara positif pada masa depan,” ujarnya. 

Sebelum ini, Siti dan Aiman sanggup berhabis lebih RM200,000 bagi mengadakan majlis persandingan di Magica Events, Monterez Hall, Shah Alam pada 1 September lalu. 

Majlis persandingan pasangan itu turut diserikan dengan persembahan penyanyi Zizi Kirana dan Ayu Damit. Tidak hanya itu, Aiman turut mengejutkan tetamu yang hadir apabila muncul sebagai ‘bintang rap’ ketika menyanyikan lagu Alhamdulillah dengan Zizi. 

Hampir 5,000 tetamu hadir memeriahkan majlis persandingan pasangan tersebut.

 

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok