RM2.7 bilion jumlah harta, Juhi Chawla aktres terkaya Bollywood

Siapa sangka biarpun sudah lama tidak muncul dengan filem baharu sebagai pelakon, tetapi nama Juhi Chawla, 56, berada di kedudukan pertama sebagai aktres terkaya di Bollywood.

Ramai yang menyangka kedudukan itu mungkin menjadi milik Deepika Padukone mahupun Priyanka Chopra berdasarkan populariti serta deretan filem baru mereka.

Berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Hurun India, Juhi berada di tangga keenam antara 10 wanita terkaya di India.

Juhi memiliki jumlah kekayaan sebanyak RM2.7 bilion hasil daripada perniagaannya dalam bidang seni serta sukan.

Pelakon filem Darr itu merupakan rakan kongsi kepada Shah Rukh Khan yang sama-sama mengusahakan syarikat produksi Red Chillies Entertainment . Mereka berdua turut memiliki pasukan kriket, Kolkata Knight Riders.

Red Chillies Entertainment telah menghasilkan filem-filem box office antaranya Om Shanti Om, Dilwale, Chennai Express, Happy New Year dan banyak lagi.

Selain memiliki perniagaan bersama teman baiknya, suami Juhi iaitu Jay Mehta merupakan antara usahawan berpengaruh di India yang memiliki 15,000 pekerja di seluruh dunia.

Jadi tidak hairanlah kenapa Juhi juga arif dalam bidang perniagaan kerana dibimbing oleh suaminya.

Kali terakhir Juhi muncul di layar lebar adalah menerusi filem Chalk And Duster pada tahun 2016.

Selepas itu dia lebih aktif berlakon dalam drama bersiri untuk platform penstriman dan kali terakhir dilihat menerusi drama Hush Hush yang ditayangkan dalam platform Amazon Prime Video pada tahun 2022. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok