Ramai tahu lagu, tapi tak cam muka Ghea Indrawari 

KENDATIPUN penyanyi Indonesia yang seorang ini, Ghea Indrawari masih belum dikenali secara meluas di Malaysia, namun lagu dendangannya yang berjudul Jiwa Yang Bersedih, sudah lama merajai halwa telinga peminat, khususnya dalam aplikasi TikTok.

Sehingga hari ini , Jiwa Yang Bersedih telah mencatat 103 juta tontonan dalam saluran YouTube sejak dilancar kira-kira setahun yang lalu. 

Jumlah tersebut boleh dikira sudah cukup untuk membuatkan penganjur konsert di Malaysia, INT X Group menyunting Ghea untuk membuat konsert sulungnya di sini pada tanggal 30 November depan bergandingan bersama Bunga Citra Lestari dan Elly Mazlein sebagai pengacara. 

GHEA mengakui gaya artis K-pop banyak mempengaruhi gaya dan penampilan fesyennya.

Penyanyi yang lahir daripada program realiti Indonesian Idol musim kesembilan itu mengakui sungguh teruja dapat menjejakkan kaki buat kali pertama di Malaysia sewaktu menghadiri sesi sidang media di sini bagi mempromosikan konsert Farmasi Soundzation. 

Saya sangat teruja kerana ini kali pertama saya ke sini. Kunjungan ini sangat bermakna kerana akhirnya saya dapat bertemu media dan peminat di Malaysia. 

“Mungkin ada yang tahu lagu-lagu saya tetapi mereka tidak kenal siapa penyanyinya. 

“Jadi ini adalah sesi pengenalan saya bersama para peminat di Malaysia,” katanya. 

Bakal bergandingan dengan Bunga Citra Lestari (BCL), penyanyi berusia 26 tahun itu juga sangat berbesar hati dapat berkongsi satu pentas dengan salah seorang juri Indonesian Idol. 

GHEA bersama Bunga Citra Lestari dan Elly Mazlein ketika pelancaran konsert Farmasi Soundzation, di Kuala Lumpur baru-baru ini. – Muhammad Ilham Syakir (Pelatih Industri)

Saya mengenali BCL sejak menyertai pertandingan Indonesian Idol pada 2018.

“Tidak sangka kami digandingkan untuk konsert di Malaysia. BCL seorang yang sangat menyenangkan. 

“Saya tidak sabar untuk bergandingan dengannya untuk konsert kami nanti,” ujarnya. 

Hampir putus asa 

Perjalanan Ghea dalam bidang seni tidak ‘segampang’ yang disangka. 

“Dia juga harus berdepan dengan ujian bertubi-tubi sebelum betul-betul berada pada tahap sekarang. 

Berbelas lagu dihasilkan, namun gagal menarik perhatian ramai sehinggalah lagu Jiwa Yang Bersedih dilancarkan. 

Saya hampir putus asa menjadi penulis lagu. Saya berada di titik terendah dan menyalahkan diri sendiri apabila lagu-lagu yang dihasilkan gagal menarik perhatian ramai. 

“Lagu Jiwa Yang Bersedih adalah lagu kebangkitan buat saya. Ini lagu yang kesebelas dan akhirnya menjadi hit.

“Saya gembira apabila ramai yang turut bangkit daripada kesedihan selepas mendengar lagu ini. 

“Lagu ini juga membawa saya hingga ke Malaysia. Jangan sekali-kali berputus asa dan terus bangkit walaupun berkali-kali tersungkur. 

Sebelum Ghea hadir ke Malaysia, dua lagi alumni Indonesian Idol iaitu Mahalini dan Lyodra terlebih dahulu ‘mendunia’ bukan sahaja di Indonesia, malah di Malaysia. 

Untuk Ghea, dia tetap gembira dengan kejayaan dua temannya itu dan tidak sedikit pun tiada menyimpan iri hati. 

Saya senang melihat pertumbuhan ramai penyanyi yang lebih bervariasi. Lebih berwarna warni. 

“Mungkin pada pandangan orang lain kelihatan seperti kami bersaing antara satu sama lain, tetapi kami sebagai penyanyi saling mendukung sesama sendiri. 

“Konsep muzik kami juga berbeza. Jadi tidak timbul soal diperbandingkan, cemburu atau sebagainya,” jelasnya. 

Gaya unik 

Selain berbeza konsep muzik dengan teman-teman seangkatan yang lain, Ghea juga mempunyai gaya fesyen unik.

Personaliti ceria dan tidak lekang dengan senyuman menjadikan pucuk muda begitu menawan. 

Kata Ghea, gayanya banyak dipengaruhi aliran K-pop kerana dia merupakan peminat tegar fesyen negara kimchi tersebut. 

PERTAMA kali menjejakkan kaki di Malaysia, Ghea sebenarnya sudah tidak sabar untuk beraksi menghiburkan peminat luar dari tanah tumpah darahnya.

Saya sangat suka dengan fesyen K-pop. Kalau dilihat gaya-gaya bintang K-pop mereka sangat berwarna warni dan berani. 

“Mereka juga bijak menyuaipadankan pakaian. Saya juga terinspirasi dengan cara menyuaipadankan baju-baju saya yang lebih ke arah K-pop. 

“Saya suka sesuatu yang berwarna warni dan membuatkan pemakai kelihatan muda,” katanya. 

Tiket-tiket untuk menyaksikan konsert Farmasi Soundzation boleh didapati dengan melayari laman sesawang www.ilassotickets.com.

 

 

 

 

 



Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok