SELEPAS setahun naskhah arahannya, Walid menemui penonton, tahun ini sutradara bernama Areel Abu Bakar kembali mempertaruhkan sebuah lagi filem aksi berjudul Pungut.
Seperti karya terdahulu, Areel cukup gemar memaparkan realiti kehidupan masyarakat dalam karyanya untuk memberi pendedahan realiti sekeliling buat penonton.
Bagaimanapun, setiap naskhah pasti ada kelainan. Kali ini, Areel menonjolkan sudut penceritaan berbeza dan jarang diangkat dalam mana-mana filem aksi yang pernah dihasilkan.
Katanya, idea asal penghasilan buah tangan terbitan Screen Studios Sdn. Bhd. tersebut tercetus apabila melihat kesusahan hidup rakyat, lebih-lebih lagi ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020.
“Idea Pungut tercetus ketika fasa PKP. Ketika itu, saya ‘terkurung’ di Pulau Langkawi.
Masa itu jugalah saya melihat banyak berita yang memaparkan kesusahan rakyat hingga membuatkan saya menjadi ngeri.
“Ada yang susah hingga tidak makan dan hilang pekerjaan. Keperitan dilalui rakyat itulah yang saya gambarkan dalam filem Pungut,” katanya kepada HibGlam.
Selepas menonton sendiri hasil pembikinan yang diusahakan, Areel mengakui sebak dengan penceritaan yang dipaparkan.
Bila saya tonton di layar lebar, saya jadi sebak kerana naskhah ini adalah simbolik kepada kesusahan dan penderitaan dialami,” ujarnya.
Ditanya sama ada elemen sindiran dalam filem tersebut sebagai satu kritikan terhadap suasana politik tanah air, Areel menafikan perkara tersebut walaupun Pungut sarat unsur sinikal.
“Kita tak boleh nak buat filem menjurus kepada satu-satu pihak. Watak dan karakter dalam filem ini mungkin ahli jawatankuasa kampung, masjid atau ahli Parlimen, bahkan sesiapa sahaja.
Kalau nak kata saya sindir ahli politik kerana isu rasuah, rasanya korupsi yang dilakukan pemimpin luar negara lebih terang-terangan. Bukan nak kata Malaysia tiada rasuah, cuma cara kita lebih sopan dan ada tatasusila.
“Namun, kalau ada sesiapa yang boleh baca setiap lapisan yang ada dalam karya, itu lebih bagus,” jelasnya.
Pungut memaparkan liku kehidupan golongan yang mencari rezeki dalam longgokan sampah.
Filem yang dibintangi Ruzaidi Abd. Rahman, Aman Graseka, Fad Anuar, Aliff Yasraff, Megat Sharizal dan Yusran Hashim mula ditayangkan pada 29 Ogos lalu di pawagam seluruh negara. – HIBGLAM