RISAU dengan nasib generasi muda, pelakon Diana Danielle puas hati apabila seorang pemandu bas sekolah ditahan polis selepas didakwa menggunakan kanak-kanak bawah umur sebagai konten media sosialnya.
Meskipun pemandu bas itu menegaskan kanak-kanak tersebut merupakan anak saudaranya, Diana atau nama lengkapnya Diana Danielle Danny Beeson, 33, menyelar tindakan dilakukan berikutan isu jenayah dalam kalangan keluarga kian meningkat.
Sebagai ibu, saya puas hati dengan tindakan polis kali ini tentang isu pemandu bas yang sibuk rakam video pelajar kesukaannya itu.
“Walaupun dia cakap itu sebenarnya anak buah dia, kita pun dah tengok kebelakangan ini keluarga rapat pun tak boleh dipercayai.
Banyak kes haruan makan anak. Apa abang bas ingat sebab itu anak buah, dia boleh jadikan kanak-kanak sebagai objek seksual kemudian anggap sebagai konten suci?,” katanya dalam sebuah hantaran Instagram.
Lebih bengang, Diana mempersoalkan tindakan ibu bapa kanak-kanak itu yang didakwa memberikan kebenaran kepada lelaki terbabit merakam wajah anak mereka untuk dimuat naik dalam media sosial.
“Pemandu bas itu cakap yang ibu bapa budak itu tahu yang dia buat konten tersebut dan mereka santai serta okey sahaja.
Malangnya kalau ibu bapa dia benarkan sekali pun, ada undang-undang yang melindungi kanak-kanak dan saya bersyukur ia wujud.
“Tiada siapa yang boleh memberikan kebenaran untuk berbuat demikian termasuk ibu bapa mereka,” ujarnya.
Hari ini, seorang pemandu bas yang merakam dan memuat naik video seorang kanak-kanak didakwa sebagai ‘crush’ ditahan polis dan direman selama lima hari sehingga 10 September.
Perintah reman itu dibenarkan Majistret Suhaila Safi’uddin selepas dimohon di Mahkamah Majistret Batu Pahat, Johor. – HIBGLAM