‘Penyampai radio perlu jaga adab, etika’

Tidak menitiberatkan soal adab dan etika, Linda Onn meluahkan rasa kesal terhadap tindakan segelintir penyampai radio ketika bertugas di konti.

Kata Linda atau nama sebenarnya Rozlindah Onn, 46, sebagai bekas penyampai radio, dia berpendapat mencampuradukkan bahasa dan tidak menjaga tutur kata menjadi antara kesilapan yang kerap dilakukan.

“Saya sangat menitikberatkan cara penyampaian baharu. Dari sudut etika mereka bersiaran sekiranya mereka tidak mendapat pendidikan cukup daripada pihak atasan seperti penyelia atau pengurus program.

“Cara percakapan mereka itu main lepas, dan tidak pihak yang akan mengawal. Saya tidak kata semua penyampai begitu, tetapi ada segelintir yang berbuat demikian,” katanya dalam temu bual sebuah program hiburan.

Tambah Linda, tidak mengira sama ada penyampai radio berpengalaman atau baharu, etika penyampai itu perlu dipelihara sekali gus dapat memberikan pengaruh yang baik kepada pendengar.

“Saya tidak mengatakan kecewa dengan cara penyampai mereka itu kerana cara kita dulu lain, sekarang lain.

“Cuma adab dan etika di radio itu perlu dijaga tidak mengira sama ada zaman sekarang atau dahulu, supaya pendengar tahu adab sebagai penyampai radio itu bagaimana,” jelasnya.

Pada masa sama, pelakon filem Cicakman 2: Planet Hitam itu berkata, dia kini tidak terikat dengan mana-mana stesen radio selain sibuk menguruskan ‘stesen radio’ sendiri iaitu Onns FM yang bersiaran dalam TikTok.

“Bukan kata tidak boleh melupakan atau tidak. Berhenti mahupun tidak boleh berhenti kerana perkara itu sudah ada dalam diri saya.

“Tetapi buat masa sekarang belum ada ruang untuk saya kembali ke radio. Akan datang siapa tahu akan dipanggil balik.

“Jadi buat masa sekarang, saya buat radio sendiri saja,” katanya.

Linda memulakan kerjaya sebagai penyampai radio sekitar akhir 1990-an dan pernah berkhidmat dengan beberapa stesen radio antaranya Era FM, Sinar FM, Suria FM dan Kool FM. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok