Penebar roti canai juara Gimme The Mic Malaysia

SELEPAS 12 tahun mencuba nasib bergelar penyanyi, akhirnya Farhan Mustapha dinobatkan juara program Gimme The Mic Malaysia malam tadi.

Menurut Farhan, 28, yang bekerja sebagai seorang penebar roti canai, sebelum bersaing dalam Gimme The Mic Malaysia dia telah menyertai pelbagai program realiti televisyen dan pertandingan.

Antara program yang disertai sebelum ini adalah Bintang RTM 2012 dan 2016, Akademi Fantasia 2015, Mentor Milenia 2017.

Bahkan Farhan juga pernah bergelar artis rakaman sebuah label, bagaimanapun bakatnya tidak dihargai sehingga pernah rasa putus asa.

Semasa Bintang RTM saya tersingkir pada separuh akhir, Akademi Fantasia tidak lepas ke konsert prelude, manakala Mentor Milenia saya tersingkir pada minggu pertama.

“Jadi, semasa separuh akhir program ini saya takut perkara sama berulang. Boleh dikatakan trauma.

Alhamdulillah, walaupun baru sahaja baik daripada Influenza A dan suara yang tidak berapa okey, saya telah bergelar juara. Memang tidak sangka tetapi mungkin sudah rezeki berkat kesabaran selama ini,” ujar Farhan.

BERKAT usaha dan sabar, Farhan akhirnya merelisasikan impiannya apabila dijulang sebagai juara Gimme The Mic.

Mendendangkan lagu Sampai Mati dan Berhenti Berharap, Farhan membawa pulang hadiah wang tunai hampir RM30,000 iaitu RM10,000 daripada Astro, RM10,000 Gimme The Mic Alha Alfa dan RM8,600 daripada TikTok.

Farhan turut menerima trofi serta penerbitan sebuah album tajaan Astro dan Rocketfuel.

Selain bergelar juara Gimme The Mic Malaysia, Farhan bersama lima peserta lain iaitu Jelly Belly, Shazreen Shaharum, Syafiq Sahli, Ameerais dan Bulan akan mewakili Malaysia dalam Gimme The Mic Global.

Saya tidak tahu bagaimana suasana dalam Gimme The Mic Global tetapi saya akan memilih lagu yang sesuai dan memberi ‘feel’ ketika membuat persembahan. Doakan yang terbaik,” ujar Farhan.

Program Gimme The Mic Malaysia diadili juri tetap popular iaitu Ajai, Bunga Citra Lestari, Yuna dan Hael Husaini.

Sementara, Sherry Alhadad dan Sean Lee menggalas tugas selaku pengacara program yang bersiaran selama lapan minggu  dari Pusat Konvensyen CIDB, Cheras, Kuala Lumpur. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok