Penat, tidak dihargai buat Atu Zero malas sertai pertandingan

KESAL! Itu gambaran perasaan ahli kumpulan Zero, Atu yang mendakwa pelawak dalam dunia hiburan tanah air semakin diketepikan.

Lebih terkilan, Atu atau nama sebenarnya Sharif Kunal Doli Sharif, 32, mendedahkan kebanyakan pelawak berbakat serba boleh tetapi tidak diberikan peluang untuk menonjolkan kelebihan kepada umum.

“Saya sudah malas bertanding dan penat bertanding. Terus-terang, saya penat sebab rasa tidak dihargai. Asal nak bertanding baru nak panggil kami (pelawak).

“Banyak pelawak lain yang saya kenal sebagai artis versatil tetapi tidak diberikan peluang. Saya tahu sebab banyak buat program dengan mereka.

“Sejujurnya memang saya terkilan kerana dalam industri ini kami dilayan sebegitu,” katanya kepada Kosmo! Online, baru-baru ini.

Kongsinya lagi, populasi pelawak dalam arena seni tempatan juga semakin menurun kerana kurangnya program pencarian pelawak seperti zaman dahulu.

“Sebelum ini mungkin kami sertai pertandingan sebab fikir ganjaran tetapi sekarang kami lebih kepada  mahu berkarya dan mencari pelapis.

“Kami sedar selepas ‘batch’ kami, tiada lagi pelawak yang betul-betul diterima terutama selepas Raja Lawak 6.

“Nanti apabila sampai satu zaman pelawak sudah tiada, baru rasa pelawak memang diperlukan,”jelasnya lagi.

Pada masa sama, Atu memaklumkan industri lawak masa kini tidak sama seperti ketika Allahyarham Pak Yus masih ada dan memeriahkan tanah air selain turut aktif membantu rakan seperjuangan lain.

“Kebanyakan radio hanya ambil pelawak otai, manakala yang baru ini tiada tempat langsung, kasihan. Macam saya selepas 10 tahun dalam industri baru orang kenal saya Atu Zero.

“Pelawak lain tiadalah mengadu tetapi kita perasan situasi berkenaan. Seperti di Indonesia program lawak sangat banyak, manakala komuniti mereka juga kuat.

“Dulu komuniti kita kuat, minta maaf cakap masa arwah Pak Yus ada mungkin kita dijaga tetapi selepas pemergiannya kami seperti sudah bertebaran.

“Pak Yus, kalau ada tawaran kerja yang tak boleh buat, dia serahkan pada kawan yang lain. Dia tidak lupakan sahabat,” tuturnya.

Bagaimanapun, anak jati Sabah itu menegaskan bukan menuduh rakan seperjuangan lain mementingkan diri sendiri, sebaliknya meluahkan pendapat disebabkan bimbangkan mereka yang sudah berkeluarga tetapi tiada tawaran kerja.

“Saya tak cakap pelawak sekarang mementingkan diri. Pelawak bujang mungkin boleh hidup sendiri tetapi risau bila sudah ada anak, isteri. Bagaimana komitmen keluarga. Jadi, tolong berikan kami peluang,” ujarnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok