Pemuzik handalan Ooi Eow Jin sudah tiada

PETALING JAYA – Komposer dan pemuzik Datuk Ooi Eow Jin meninggal dunia akibat sakit tua pada pukul 3.30 petang tadi.

Menurut Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT), mendiang Eow Jin dilaporkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

YKAT baharu sahaja menerima panggilan daripada Datin Elain yang mengatakan suaminya, Ooi Eow Jin meninggal dunia sebentar tadi di Hospital Kuala Lumpur.

“Mendiang merupakan pemuzik terkenal tanah air yang menerima bantuan bulanan YKAT berjumlah RM500 sebulan. Semoga keluarga mendiang tabah,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Mendiang menghembuskan nafas terakhir pada usia 86 tahun.

Pada 2022, keadaan kesihatan Eow Jin yang menghidap penyakit Alzheimer sejak 2015 semakin merosot selepas dijangkiti virus Covid-19.

Eow Jin pernah bekerjasama dengan barisan penyanyi popular tanah air antaranya Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Datuk M Nasir dan Rahimah Rahim dalam menghhasilkan lagu.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai pengarah muzik di TV3 dan mencipta beberapa lagu antaranya, Gerimis Di Lautan, Lagu Untukmu, Masa Berlalu, Dia Ibuku dan Hati Yang Rapuh. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok