PAHA lebam, Mia Nasir diserang anjing Rottweiler

BERDEPAN detik mencemaskan, pelakon Mia Nasir diserang seekor anjing jenis Rottweiler ketika menjalani penggambaran sebuah drama, baru-baru ini.

Mia atau nama sebenarnya Nur Farah Md. Nasir, 33, berkata, kejadian berlaku sangat pantas apabila haiwan yang juga sebahagian daripada babak dijayakan telah bertindak di luar jangka.

Badan saya tak sakit, cuma impak di bahagian paha sahaja. Tiada luka dan berdarah. Apa yang berlaku ini saya tak salahkan siapa. Tiada siapa yang sangka benda seperti itu akan terjadi.

“Nasib saya memang baik walaupun ruang dekat situ macam tiada, masih selamat. Anjing itu pun digunakan untuk tujuan lakonan,” katanya dalam hantaran TikTok.

Insiden tersebut dikongsikan menerusi rakaman video berdurasi 0:13 saat yang menunjukkan Mia bersama seorang lagi pelakon, Mimi Lana melakukan adegan memasuki sebuah rumah.

Namun ketika mereka berjalan ke kediaman berkenaan, anjing Rottweiler yang digunakan untuk tujuan lakonan meluru dan cuba menggigit bahagian bawah seluarnya.

Begitupun, haiwan tersebut terus menghentikan serangan dan berpatah balik selepas beberapa individu datang menyelamatkan Mia.

Menurut adik kepada Anzalna Nasir itu, dia bersyukur tidak mengalami luka atau digigit, sebaliknya hanya mempunyai kesan lebam sedikit di bahagian pahanya.

Pada masa sama, pelakon Cik Paris Diva Kampung itu turut mengakui tidak trauma biarpun berdepan kejadian menakutkan seperti itu.

“Kalau tanya trauma ataupun tidak, saya akan cakap tidak. Sebab dia tak gigit saya. Kalau gigit mungkin saya trauma.

Untuk pengetahuan kalian, kita jangan bagi interaksi mata dengan anjing sebegitu. Mereka akan rasa terancam.

“Belakang saya ada cermin. Nasib saya tak langgar dan pecahkan, Allah lindung saya. Saya juga bernasib baik kerana seluar yang dipakai menghalang anjing itu menggigit terus ke bahagian kulit,” ujarnya.

Semakan di ruangan komen mendapati rata-rata netizen turut berkongsi pengalaman mencemaskan berdepan anjing garang.

“Tak kisah anjing apa pun, pernah kena kejar. Kalau Rottweiler lagilah menakutkan,” kata seorang peminat.

“Pernah kena kejar anjing. Video ni buat jantung saya nak luruh,” tulis seorang pemilik akaun lain.- HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok