EMPAT tahun bergelar janda, pelakon Nadia Brian mengakui tidak berasa rimas meski sering diajukan pertanyaan mengenai jodoh.
Nadia atau nama lengkapnya Nadia Najwa Mohamed Rashidi, 33, berkata, dia bersikap terbuka dan melihat pertanyaan itu sebagai doa.
“Saya tidak rimas sebab orang nak ambil tahu, mestilah nak minta juga orang lain tolong mendoakan.
Bagus juga bila orang tanya supaya boleh doakan saya dapat jodoh yang baik, dikurniakan anak serta bahagia hingga hujung nyawa.
“Saya nak bahagia seperti itu. Jadi saya tak kisah orang bertanya,” kata semasa sidang akhbar filem Duyung Legenda: Aurora, baru-baru ini.
Pelakon drama Lelaki Itu berkenaan mengakui ramai lelaki cuba mendekati menerusi media sosial tetapi dia terlalu sibuk bekerja hingga tiada masa untuk menjalin hubungan cinta.
“Saya tak nafikan banyak juga terima (mesej langsung) DM dalam Instagram daripada mereka yang mahu berkenalan dan berkawan. Namun, saya sangat sibuk bekerja sekarang.
Jadi, saya tak tahulah siapa boleh bersama dengan saya yang selalu sibuk ini. Saya kena hadkan waktu jugalah apabila sudah sampai tahap usia tertentu.
“Namun, jujurnya saya belum bertemu lagi. Sudah tentu kita mahu yang terbaik, mahu hubungan berpanjangan. Jadi. insya-Allah doa yang baik-baik,” ujarnya.
Sebelum ini, Nadia pernah mendirikan rumah tangga dengan usahawan Muizz Nasruddin pada 9 November 2019 namun bercerai pada April 2021. – HIBGLAM