TAK boleh bau bawang putih. Bau sahaja saya muntah.”
Demikian perkongsian terkini pelakon Datin Atikah Suhaime yang seakan-akan memberi bayangan dirinya kini sedang berbadan dua.
Atikah atau nama sebenarnya, Nur Atikah Mohd. Suhaime berkata, disebabkan tidak boleh menjamah makanan yang mengandungi bawang kerana berasa mual, dia terpaksa berehat seketika daripada berkongsi video mukbang.
Sejak akhir-akhir ini, rasa mual semakin teruk. Maaf kalau kalian tertunggu-tunggu video mukbang.
“Saya memang tak boleh makan bawang merah dan bawang putih buat masa sekarang,” katanya menerusi hantaran aplikasi TikTok.
Artis asal Singapura itu berkongsi video sedang memasak hidangan Itali yang diberi nama Portabello Mushroom Focaccia Sandwich.
Menurutnya, itu sahaja makanan yang boleh diterima tekaknya ketika ini.
Buat masa sekarang sandwic yang kering dan tanpa garam ini adalah makanan tersedap di dunia untuk saya,” ujarnya.
Perkongsian Atikah membuatkan ramai pengikut percaya dia kini dalam fasa awal kehamilan.
“Biasalah, trimester pertama rasa mual-mual tapi ada juga bakal ibu masih alahan hingga akhir trimester,” kata seorang peminat.
“Kalau tak makan atau tak boleh bau bawang biasanya tengah mengandung,” tulis pemilik akaun lain.
Bagaimanapun Atikah belum mengesahkan berita gembira itu dan membiarkan pengikutnya terus berteka-teki tentang perkara tersebut.
Pelakon drama Cinta Tiada Ganti itu mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Datuk Lokman Teh pada 21 Januari lalu. – HIBGLAM