SIAPA tidak mengenali figura popular bernama Zul Ariffin. Sekitar 16 tahun lalu, dia terjun ke dunia seni bermodalkan wajah tampan, tubuh kekar dan kontroversi panas yang tentu sahaja pantas melonjakkan namanya.
Usai tempoh ‘introduksi’, pemilik nama sebenar, Zulkifli Ariffin, itu tidak lagi ditakuk sama, apabila membuktikan kehadiran dalam industri bukan sekadar menjual visual.
Seiring darjah kepanasan dan ledakan populariti, bakat lakonannya juga mendapat pengiktirafan. Namanya terjulang sebagai Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-31 menerusi filem Sangkar.
Kejayaan diraih meletakkan Zul sebagai pelakon gred A dalam pasaran filem komersial sehingga ada yang beranggapan bintang tinggi lampai itu enggan lagi meletakkan muka ke dalam drama cinta bernaratif klise.
Hampir dua dekad hanya akur setiap kali menerima tawaran, Zul kini lebih selektif menghadam skrip malah yakin, banyak sutradara sudah ‘masak’ dengan watak dan karakter yang sesuai dengannya.
Bukan sombong mahupun cerewet, lelaki berusia 38 tahun itu sebaliknya ingin memberikan lakonan sehabis baik dalam sesebuah naskhah.
“Saya sekarang bukannya muda lagi, rasanya penerbit pun dah tahu watak macam mana nak beri kepada saya. Kalau filem, biasanya lebih ke arah genre aksi.
“Apa pun sekarang ini kenalah memilih apabila kita ada peluang. Bukan kerana saya sudah ada nama, tetapi banyak perkara perlu diambil kira.
“Contohnya kalau berlakon filem aksi, saya perlu masa yang lama untuk lakukan persiapan sebelum memulakan penggambaran,” katanya kepada Pose.
Tambah bintang Sheriff: Narko Intregriti itu, dia tidak lagi menerima tawaran berlakon drama cinta malah lebih selesa beraksi untuk naskhah layar perak.
“Kalau ketika mula berlakon dahulu, kita mahu mencipta nama dan saya tiada peluang memilih.
“Mungkin sekarang tiada lagi Zul Ariffin yang dahulu seperti dalam drama percintaan. Muka saya pun sudah tidak kena dengan watak sebegitu.
“Masih ada terima tawaran berlakon drama, tetapi perlahan-lahan saya cuba tolak, fokus apa yang saya selesa,” jelasnya.
Paling penting kata Zul, dia ingin memberi peluang kepada bakat baharu malah berbangga apabila ramai pelapis yang mahu menceburi bidang lakonan.
Tidak terdetik rasa iri hati, Pelakon Filem Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular ke-30 (ABP30) itu sebaliknya menyokong penuh generasi baharu yang ingin mencuba nasib menerusi drama televisyen.
“Tak pernah rasa cemburu kepada pelakon muda, saya sudah lalui semua itu ketika muda.
“Apa yang penting mereka perlu cipta nama dahulu dikenali dan bukan hanya pengikut media sosial sahaja,” tutupnya.