‘Menyesal tak datang Malaysia lebih awal’

PERTAMA kali menjejakkan kaki di Malaysia pasti menjadi kenangan terindah buat pelakon dan penyanyi Korea Selatan, Lee Joon-gi serta peminat setianya.

Kehadiran Joon-gi ke Kuala Lumpur adalah bagi melunaskan konsert jelajahnya berjudul 2024 Lee Joon-gi Asia Tour Malaysia di Mega Star Arena, Ahad lalu.

Masakan tidak, kalimat ‘bakal datang lagi ke Malaysia’ tidak berhenti meniti di bibir jejaka berusia 42 tahun itu.

Malah, dia juga meluahkan kekesalannya kerana tidak datang lebih awal ke Malaysia bagi menghiburkan peminat di sini.

LEE JOON-GI menyesal tidak datang lebih awal ke Malaysia bertemu peminat.

Terharu dengan sambutan hangat yang diterima, dia berjanji akan datang lagi ke Malaysia dan menampilkan persembahan yang lebih baik selepas ini.

Saya sebenarnya terharu dengan sambutan yang diberikan kalian sebab saya tidak begitu popular. Melihat kepada situasi ramai yang hadir, saya menyesal tidak datang ke sini lebih awal.

“Terima kasih kerana menerima kehadiran saya. Peminat Malaysia sememangnya mantap dan saya berjanji akan kembali dengan aksi lebih baik,” katanya usai mempersembahkan beberapa buah lagu.

Dalam masa sama, pelakon drama popular Scarlet Heart itu mengakui bukan seorang penyanyi yang baik tetapi tetap menyampaikan lagu Thank You, Now, Can’t Be Slow, My Lady dan For A While dengan sepenuh hati.

Selain menunjukkan kebolehan menyanyi, Joon-gi turut menyelitkan koreografi tarian lincah bertenaga pada usia lingkungan 40-an yang sewajarnya diberi pujian.

RATA-RATA terpegun melihat Lee Joon-gi menyanyikan lagu Rasa Sayang dalam bahasa Melayu.

Lebih mengagumkan apabila jejaka asal Busan, Korea Selatan itu menyampaikan lagu bahasa Melayu berjudul Rasa Sayang sekali gus meraih sorokan gemuruh.

Mungkin rata-rata tidak menyangka Joon-gi memilih lagu rakyat bahasa Melayu yang popular di Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia itu.

Kebolehan Joon-gi bertutur dalam pelbagai bahasa terserlah apabila dia menyampaikan seleksi lagu bahasa Inggeris seperti I’m Yours, Marry You, Uptown Funk dan Dancing In The Moonlight.

Dalam masa sama, dia sempat membawakan lagu popular Standing Next To You nyanyian asal Jungkook.

Standing Next To You ini nyanyian Jungkook tapi saya sendiri buat latihan bersungguh-sungguh untuk membawakan naskhah ini.

“Hal ini kerana lagu ini bernada terlalu tinggi untuk dinyanyikan saya selaku bukan seorang penyanyi yang baik,” ujarnya.

TERHARU dengan sokongan diberikan peminat, Lee Joon-gi berjanji akan datang lagi ke Malaysia selepas ini.

Persembahan selama tiga jam itu turut diselitkan dua segmen interaksi bersama peminat menerusi aktiviti merakam lima idea swafoto mengikut pilihan penonton selain persembahan lakonan aksi daripada pelantun lagu Bring Da Beat itu.

Seperti artis-artis Korea lain, Joon-gi turut mengakhiri jelajahnya dengan bertemu empat mata dengan setiap pengunjung yang hadir bagi mengucapkan selamat tinggal.

Ketika persembahan berlangsung, ramai peminat hadir dengan ‘ragam’ masing-masing termasuk yang berkerusi roda dan menggayakan pakaian hanbok (pakaian tradisional Korea). – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok