GELARAN Ratu Runut Bunyi sudah sebati dengan Adira Suhaimi. Sejak keluar dari Akademi Fantasia sehingga kini sudah lebih 10 lagu runut bunyi meminjam auranya.
Antara lagu yang masih menjadi siulan peminat sehingga kini termasuklah Ombak Rindu yang menghiasi filem Ombak Rindu, Ilusi dan Ku Ada Kamu (drama Awan Dania), Untuk Cinta (filem Pilot Cafe), serta Takdir Tercipta (drama Lelakimu Yang Dulu).
Melihat portfolio ibu empat itu, rupa-rupanya sudah lebih sedekad dia mengabdikan diri dalam gelanggang seni sebagai penyanyi.
Namun, anak jati Ranau, Sabah itu juga pernah mencanai bakat sebagai pelakon apabila disunting menjadi heroin drama Tiara bergandingan dengan Aliff Aziz pada 2012.
Adira kemudian memutuskan untuk hanya fokus menyanyi dan melaksanakan tanggungjawab terhadap keluarga.
Begitupun, peluang untuk membintangi drama dalam talian terbitan Karya TV berjudul Jangan Tinggal Abang Dek! (JTAD!) telah berjaya membuka hati Adira untuk kembali aktif dalam bidang lakonan.
Baginya biarpun hanya bersiaran dalam platform digital (Instagram dan TikTok), itu sudah cukup untuk menjadi permulaan yang baik untuk dia serius mencanai bakat sebagai pelakon.
“Dahulu saya tidak mahu berlakon sebab mahu fokus menyanyi. Tetapi sekarang apabila anak-anak sudah besar dan ada ahli keluarga serta pembantu bagi menjaga mereka, saya rasa tenang untuk bekerja.
“Saya fikir apa salahnya untuk kembali dalam bidang lakonan. Dahulu saya takut untuk buat dua kerja (nyanyian dan lakonan) dalam satu masa.
“Tetapi setelah melaluinya, pada saya tiada masalah untuk melakukan kedua-duanya. Cuma agak penat sedikit tetapi tidak mengapa,” katanya tersenyum.
Syarat
Pada masa sama, Adira bersyukur kerana menerima tawaran berlakon dari syarikat produksi Karya TV milik pelakon dan pengarah Erma Fatima.
Akui Adira, selepas menjayakan drama dalam talian JTAD!, Erma menawarkan beberapa projek lagi.
“Alhamdulillah rezeki dan saya sangat bersyukur. Tawaran berlakon itu tidaklah terlalu banyak tetapi saya akan bekerja di bawah produksi sama lagi nanti.
“Saya juga sangat bersyukur kerana lokasi penggambaran juga tidak terlalu jauh dari rumah. Walaupun saya terbuka dengan tawaran, tetapi jarak lokasi penggambaran penting kerana kalau boleh saya tidak mahu berjauhan dengan anak-anak di sini (Kuala Lumpur) atau bekerja di luar kawasan terlalu lama,” ujarnya.
Tambah Adira, dia ingin mencabar diri dengan membawakan watak berat dan di luar zon selesa.
“Saya ingin watak mencabar tidak kira untuk televisyen atau filem. Saya mahu tahu sejauh mana kemampuan saya.
“Alhamdulillah peminat juga teruja melihat saya kembali berlakon. Sokongan mereka menjadi pembakar semangat untuk saya terus aktif,” ujar pemilik nama lengkap Siti Adira Suhaimi itu.
Dalam pada itu, Adira mengakui meletakkan syarat tidak melakukan adegan bersentuhan bagi mengelakkan kontroversi.
Meski sudah lali dengan kecaman, Adira mengharapkan kembara seninya berjalan lancar tanpa terpalit kisah sensasi.
“Kalau boleh saya ingin elak daripada melakukan babak bersentuhan. Tambahan status sebagai ibu tunggal membuatkan saya kalau boleh ingin mengelak daripada terpalit dengan kontroversi.
“Saya bimbang nanti akan ada orang mengata atau mengkritik kerana kalau boleh saya ingin bebas kontroversi. Saya sudah puas dengan kontroversi dahulu, sekarang saya mahu mempunyai kerjaya dengan lebih baik,” tuturnya.
Tiada kontroversi
Ditanya tentang naskhah JTAD! yang mengisahkan Abang Rem lakonan Datuk Adi Putra mempunyai ramai kekasih meski sudah berumah tangga.
Menggalas watak sebagai isteri kepada Abang Rem, Adira menyedari banyak pihak yang masih mengaitkan dirinya yang sebelum ini berstatus isteri kedua.
Penyanyi berusia 32 tahun itu bagaimanapun terbuka menerima kecaman. Bagi Adira dia hanya menjalankan tanggungjawab untuk menjayakan watak dengan baik.
“Dalam cerita ini, saya memegang watak sebagai isteri Abang Rem. Dia cuma ada satu isteri tetapi mempunyai ramai kekasih gelap.
“Mungkin cerita ini ada yang mengaitkan dengan kehidupan saya sebelum ini. Sejujurnya saya sudah bersedia dengan segala komen dan terserah kepada peminat untuk menilai.
“Saya sendiri sudah lali dengan kontroversi dan terima sahaja apa yang mereka (netizen) kata.
“Paling penting saya sudah menjalankan tanggungjawab menjayakan watak tersebut,” jelasnya.
Selain Adira dan Adi, karya arahan Amor Rizan yang disiarkan tiga kali seminggu iaitu setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad itu turut dibintangi Nabila Huda, Elly Mazlein, Fatiya Latiff, Alya Iman dan ramai lagi.
Terus berbicara tentang kontroversi, bagi Adira peningkatan usia dan pengalaman membuatkan dirinya lebih terbuka mendepani situasi ‘panas’ itu.
Berbeza dengan awal kemunculan, Adira sedar ketika itu dia memilih mengelak berbanding menjelaskan status sebenar saat ditanya media.
“Masa muda dahulu kadangkala saya mengelak menjawab soalan media. Namun kini, jika mahu sebarang cerita atau kontroversi itu berakhir segera, saya akan berikan jawapan jujur dan menoktahkannya,” kata Adira.
Sejak mendedahkan dirinya terbuka hati untuk menerima semula bekas suami, Datuk Red, Adira kerap diajukan pertanyaan tentang hari bahagianya.
Menurut Adira, dia dan Datuk Red atau nama sebenarnya Datuk Seri Adnan Abu memerlukan masa sebelum bersedia untuk kembali bergelar suami isteri.
“Insya-Allah doakan yang baik-baik. Buat masa ini kami mempunyai tanggungjawab dan perkara yang ingin diselesaikan terlebih dahulu.
“Kalau betul ada jodoh tidak ke mana dan saya serahkan perkara ini kepada Tuhan. Biarlah Dia yang menentukan segala-galanya,” ujarnya.
Dia yang kini bergelar janda mengakui terkejut apabila ada segelintir wanita kurang selesa dengan gelaran itu.
Jelas Adira, masyarakat Sabah terbuka menerima status janda dan tidak melihatnya sebagai hal yang negatif.
“Mengapa kita perlu mempertikaikan status janda? Bagi saya okey sahaja kerana kalau di kampung di Ranau reaksi kami berbeza. Penerimaan mereka agak baik dan terbuka serta tidak mempersoalkan gelaran itu.
“Mungkin berbeza dengan penerimaan masyarakat di Semenanjung yang rasa status itu agak kasar.
“Secara peribadi saya tidak tahu apa yang dimaksudkan dengan perkataan janda itu sehingga membuatkan khalayak takut dan fikir negatif mengenainya.
“Ya, janda itu gelaran untuk ibu tunggal, cuma saya tertanya-tanya mengapa orang sangat benci janda,” katanya.
Sebagai rekod, Adira dan Datuk Red berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015, namun bercerai pada 24 April lalu.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Anggrek, 5, Asan, 4, Anggun, 3, dan Ayoub. – HIBGLAM