‘Memang tidak, tiada berhubung langsung dengan dia’

Masih tidak berhubung mahupun bersua muka, pelakon Datuk Aaron Aziz mengakui hubungannya dengan pengarah Syamsul Yusof masih belum pulih dek isu persengketaan yang tercetus sejak tahun lalu.

Pun begitu, Aaron atau nama sebenarnya Aaron Mustapha Aziz, 48, memuji tindakan Syamsul yang sudah kembali ke pangkuan keluarga dan memilih untuk berdamai dengan kedua orang tua, baru-baru ini.

“Memang tidak, saya tiada berhubung langsung dengan dia.

“Tapi kalau dia dan keluarganya sudah berdamai baguslah, itu yang sepatutnya.

“Alhamdulillah. Itu sahaja yang boleh saya cakap,” katanya kepada HibGlam.

Enggan menyibuk dalam urusan peribadi Syamsul dan keluarganya, pelakon filem Sheriff Narko: Integriti itu memberitahu, dia hanya maklum mengenai perihal berdamai itu melalui foto tular dalam media sosial.

“Saya hanya lihat gambar keluarga bahagia mereka dan Puteri Sarah pun ada kat situ. Itu pun sebab lalu lalang dekat TikTok. Mustahil tidak tertengok.

“Setakat itu sahaja, selain daripada itu, saya tidak ada bersungguh-sungguh untuk korek mahupun gigih cari dan baca.

“Lagipula saya sibuk dengan urusan sendiri, saya jarang nak ambil tahu mengenai rumah tangga orang lain,” jelasnya ketika ditemui pada pada Sesi Meet And Greet With Aaron Aziz, di sini, semalam.

Terdahulu, pada 11 September lalu, ibu Syamsul iaitu Datin Patimah Ismail berkongsi foto menerusi Instagram Story kepulangan anak kesayangannya itu ke pangkuan keluarga selepas sekian lama tidak bertemu.

Sebelum ini, pada Mac tahun lalu, persengketaan antara dua selebriti itu bermula selepas anak kepada Yusof Haslam itu bertindak menggugurkan nama Aaron sebagai salah seorang pelakon filem The Original Gangster.

Menurut Syamsul atau nama sebeanrnya, Mohd. Syamsul Mohd. Yusof, 40, dia membuat keputusan tersebut kerana risau dengan masalah kesihatan yang dihadapi aktor tersebut pada ketika itu.

Aaron mahupun Syamsul, masing-masing sehingga kini tidak berhubung mahupun berjumpa bagi menyelesaikan persengketaan di antara mereka berdua. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok