Masih berbisa, Beetlejuice Beetlejuice tak mengecewakan

SELEPAS 36 tahun, sutradara ternama Hollywood, Tim Burton kembali dengan sekuel filem Beetlejuice yang diberi judul Beetlejuice Beetlejuice.

Naskhah kali ini mengisahkan Lydia Deetz lakonan Winona Ryder yang masih dihantui Betelgeuse (Michael Keaton) walaupun selepas lebih 30 tahun meneruskan kehidupan termasuk mempunyai seorang anak perempuan bernama Astrid (Jenna Ortega).

Secara peribadi, penulis sangat mengharapkan agar filem kali ini mengubati kerinduan ramai peminat francais Beetlejuice dan ternyata, perihal tersebut tidak langsung dihampakan dalam Beetlejuice Beetlejuice.

Kendatipun ramai yang beranggapan jurang atau sengkang 36 tahun satu tempoh yang panjang untuk merilis sekuel, Tim Burton sememangnya masih bertangan magis dan tahu selok belok bagaimana untuk melunaskan filem kali ini.

Watak Betelgeuse dijayakan dengan komitmen tertinggi oleh pelakon papan atas Michael Keaton.

Pertama sekali, watak Betelgeuse yang setia dimainkan Keaton kekal berbisa. Pelakon tersohor yang juga dikenali menerusi karakter Batman itu masih ‘berjus’ dan menjadi igauan (dan disayangi) ramai termasuk golongan kanak-kanak.

Penghayatan, lontaran dialog dan bahasa tubuh Keaton sebagai Betelgeuse yang digeruni namun pada masa sama, dicintai peminat francais Beetlejuice tetap meninggalkan dampak buat peminat yang ternanti-nantikan sekuel kali ini.

Sinergi nostalgia Betelgeuse, Lydia

Kecemerlangan lakonan Keaton sebagai Betelgeuse disambut ‘kekasihnya’ yang tidak kurang hebatnya kembali memainkan peranan sebagai Lydia Deetz.

Sedikit imbasan, kalau pada versi filem pertama Lydia yang diberi keistimewaan mampu melihat perkara ghaib (dibaca: hantu) namun, untuk sekuel kali ini bakat tersebut tidak diwarisi anaknya, Astrid Deetz.

JENNA Ortega (kiri) memainkan karakter anak kepada Lydia bernama Astrid yang dipinggirkan rakan sebaya di sekolah disebabkan ‘kerjaya’ ibu kandungnya itu.

Bagaimanapun, dari hari ke hari, ‘hijab’ Astriz dibuka dan dia mula percaya dengan kewujudan hantu dan sekali gus hubungan antaranya dengan ibu (Lydia) kembali akrab.

Dalam pada itu, menyentuh soal tahap keseraman imaginasi cetusan Tim Burton, filem kali ini ternyata mencapai jangkaan tersendiri.

Ada hantu tinggi lampai berkepala sekecil telur ayam, ada makhluk mati yang kepala ‘terpisah’ daripada badan akibat menjadi mangsa ikan jerung dan banyak lagi perihal menarik dalam Beetlejuice Beetlejuice.

Muzikal

Penulis sangat menghargai elemen ‘muzikal’ yang dimasukkan dalam beberapa adegan dalam Beetlejuice Beetlejuice termasuk ketika Betelgeuse ingin berkahwin dengan Lydia namun entah mengapa, ada ketikanya terasa seperti babak tersebut sedikit ‘cringe’.

SERASI bersama, Winona Ryder dan Michael Keaton berjaya menghidupkan watak masing-masing dengan berkesan.

Bagaimanapun, itu adalah pandangan peribadi kerana lain orang, lain perspektif mereka.

Dari segi kesan visual (VFX), Beetlejuice Beetlejuice terkandung kualiti tersendiri yang menguatkan lagi status Tim Burton sebagai antara pengarah paling berimaginasi tinggi dalam dunia.

Secara keseluruhannya, filem ini menghiburkan dan wajib menjadi pilihan tontonan ramai. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok