‘Mahu tembus tembok muzik Indonesia’

TANPA disedari, rupa-rupanya sudah sembilan tahun pembabitan Insomniacks yang dianggotai tiga jejaka tampan itu dalam industri seni tanah air.

Tidak sekadar ada, Insomniacks juga bukan sahaja ingin mempertaruhkan genre muzik yang dibawa malah berhasrat mengetengahkan bakat sebagai komposer dan penulis lirik.

Atas iltizam itulah, kumpulan itu teruja berkongsi single baharu mereka bertajuk Belum Mulai bersama duet bersama penyanyi dari Indonesia, Nabila Taqiyyah.

Vokalis Insomniacks, Iqie berharap single pertama mereka dalam bahasa Indonesia itu dapat diterima peminat mereka serta menembusi pasaran Indonesia.

“Mudah-mudahan peminat kami di Malaysia dan pendengar di Indonesia dapat menerima lagu ini.

“Mungkin muzik kali ini lebih galau dan suntikan emosinya lebih berat tetapi tetap mengekalkan identiti alunan Insomniacks,” jelasnya.

Bagi Nabila pula, dia berharap pendengar di kedua-dua negara dapat menikmati lagu ciptaan Clara Riva dan Sleek itu dengan sebaik-baiknya.

“Pastinya sangat gembira kerana ini kolaborasi pertama saya dan lebih istimewa lagi bersama kumpulan dari Malaysia.

“Seluruh proses produksi berjalan lancar dan menyenangkan.

“Saya harap semua pendengar menikmati lagu ini seperti kami menikmati seluruh proses pembikinannya,” ujarnya.

BERKOLABORASI dengan bintang Indonesia, Nabila Taqiyyah menerusi lagu Belum Mulai, Insomniacks berharap suntikan muzik galau dan rentak muzik baharu mereka itu diterima ramai.

Ditanya adakah meletakkan target tertentu pada lagu tersebut seperti ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL), Iqie berkata mereka menulis lagu untuk kepuasan peminat dan itu yang menjadi keutamaan kumpulan itu dalam industri muzik sejak awal kemunculan lagi.

“Kami tidak pernah anggap muzik kami lebih baik atau kumpulan kami lebih bagus dari band lain dalam industri.

“Anugerah tidak pernah menjadi visi dan keutamaan kami sebagai pemuzik dan tidak semestinya menjadi pengukur kejayaan sesebuah kumpulan itu kerana ada banyak lagi faktor lain.

“Apa yang penting, kami berasa puas bila melancarkan lagu baharu dan dapat membuat persembahan untuk semua peminat setia yang menyokong perjuangan muzik sejak dahulu” katanya kepada HibGlam usai pelancaran pelancaran album terbaharu mereka berjudul Teman EP, baru-baru ini.

Album Teman EP merupakan album ketiga Insomniacks dan sudah diluncurkan pada 9 Ogos lalu.

Teman EP menampilkan lapan trek iaitu Sayang/Cinta, Temani Hati, Dimana, Teman, Cerita Kita, Igauan Malam dan Belum Mulai.

Disoal mengenai perancangan mengadakan konsert berskala besar, Iskandar menjawab perkara tersebut masih dalam perbincangan.

“Sebelum ini kami sudah buat ‘showcase’ dan memang ada perbincangan dengan label untuk buat konsert skala besar khusus untuk peminat nanti.

“Buat permulaan, lokasinya mungkin kecil sedikit berbanding di stadium.

“Mungkin lokasi seperti di Zepp, Kuala Lumpur,” katanya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok