SAAT Yuna mengumumkan kolaborasi sulung bersama ‘kakak ipar’ Bunga Citra Lestari atau BCL, ramai yang teruja, sementelah kedua-duanya nama besar dalam lapangan muzik antarabangsa dan Nusantara.
Meski memiliki pertalian kekeluargaan, kongsi Yuna dan Bunga, proses untuk menghasilkan single pertama mereka iaitu Watak Utama tidaklah mudah kerana kedua-duanya memiliki jadual yang sungguh padat.
“Sebenarnya idea untuk kolaborasi dalam sebuah lagu sudah ada sejak tahun 2021. Tetapi disebabkan kesibukan kerja saya di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) dan Bunga pula di Jakarta, Indonesia perancangan itu tergendala.
Pada 2023 sibuk dengan rakaman lagu dan kebetulan penerbit saya, Pierre Jamerson mencipta sebuah lagu yang bagi saya cukup comel.
“Saya tahu lagu itu tidak sesuai dengan imej dan pembawakan muzik Yuna. Mula saya menulis lirik dalam bahasa Inggeris tetapi rasa tidak sesuai dan saya minta kebenaran penerbit untuk menulis dalam bahasa Melayu,” ujar Yuna.
Selepas melengkapkan lagu tersebut dan memperdengarkan kepada Bunga, penyanyi lagu Cinta Sejati itu bersetuju lagu Watak Utama dijadikan single duet pertama mereka.
Bunga suka dan bertanya jika saya tidak mahukannya dia ingin mengambil lagu ini. Jadi, kami mula bekerjasama dan cabarannya adalah membuat lirik yang sesuai untuk pasaran Malaysia serta Indonesia.
“Ini kerana bahasa Melayu dan Indonesia agak berbeza, Bunga banyak memberi input berkenaan lirik. Disebabkan kekangan masa saya merakam lagu ini di Los Angeles dan Bunga di Jakarta,” tutur Yuna.
Awalnya Yuna mahu melancarkan Watak Utama pada tahun lalu, bagaimanapun terpaksa ditangguhkan memandangkan Bunga memasuki gerbang perkahwinan bersama ahli perniagaan, Tiko Aryawardhana di Bali pada Disember tahun lalu.
“Walaupun mengambil masa lama sejak 2021, saya melihat waktu pelancaran pada 13 September lalu adalah tepat.
Kebetulan kami bersama-sama terlibat sebagai juri program Gimme The Mic Malaysia dan setiap minggu Bunga akan terbang ke Kuala Lumpur.
“Jadi, ini peluang untuk bekerja dengan lebih rapat dan memutuskan semua perkara akhir berkenaan lagu Watak Utama.
Disebabkan Bunga ada di sini, dia juga boleh sama-sama terlibat dalam promosi,” luah Yuna.
Meskipun memiliki hubungan sebagai ipar atau biras, Yuna mengakui sangat mengagumi Bunga sebagai penyanyi yang versatil.
Bahkan, dapat bekerjasama dengan Bunga adalah satu hal yang cukup besar buat Yuna sementelah dia pada asalnya adalah peminat pelantun lagu Tentang Kamu itu.
“Memiliki lagu dengan Bunga adalah pengalaman satu dalam sejuta.
Saya membesar mendengar lagu Bunga dan sekarang kami bukan sahaja sama-sama menyanyi tetapi ada hubungan keluarga,” kata Yuna.
Sementara itu, Bunga berkata meskipun memiliki hubungan kekeluargaan dan sangat rapat antara satu sama lain, tetapi apabila bekerja, mereka bersikap profesional.
Seperti bekerja dengan penyanyi yang lain, begitulah juga layanan yang diberikan sewaktu bekerjasama dengan Yuna.
Saya sangat gembira apabila kami ada lagu bersama. Bekerja dengan Yuna mudah kerana kami sama-sama tahu apa yang diinginkan.
“Yuna sangat berbakat dan saya menyanjungi dia sebagai seorang pengkarya serta penyanyi. Cuma bila bekerja kami tidak mencampuradukkan antara keluarga dan tugas sebagai penyanyi profesional.
Yuna hadir sebagai satu jenama, begitu juga saya sebagai BCL kerana kami sudah bekerja sebagai penyanyi sebelum mengenali antara satu sama lain.
“Menjadi keluarga itu satu bonus kerana keserasian itu memang sudah ada,” tutur Bunga yang sebelum ini adalah isteri kepada Allahyarham Ashraf Sinclair.
Lagu Watak Utama yang liriknya ditulis berdasarkan inspirasi cinta Yuna terhadap suaminya, Adam Sinclair manakala video muziknya pula berkonsep Y2K.
Dalam satu sisi lain, Yuna kini bahagia dengan keputusannya kembali ke Kuala Lumpur dan hanya akan terbang ke Los Angeles jika diperlukan sahaja.
Selain ingin mencuba sesuatu yang baharu, kehidupan peribadinya juga lebih stabil kerana berada dekat dengan keluarga.
Saya ingin teroka apa lagi yang boleh saya lakukan di Malaysia dan juga Indonesia. Saya akan mengeluarkan EP berbahasa Inggeris pada November ini.
“Insya-Allah EP ini akan mengandungi lima lagu, selepas itu saya akan berehat seketika dan menikmati kehidupan di Malaysia. Soal ke Indonesia kita serahkan kepada Bunga (ketawa),” ucap Yuna.
Berbicara mengenai perkembangan karier muzik Yuna yang kini kembali menetap di Malaysia, Bunga melihat perkara tersebut sebagai sesuatu yang sangat positif.
Bunga bahkan mengakui, ini peluang keemasan untuk membawa Yuna mengembangkan lagi pengaruh di Indonesia.
‘Ya, dahulu dia di Los Angeles, agak jauh kini sudah berada di Kuala Lumpur mudahlah untuk ke Indonesia. Saya pasti peminat di Indonesia juga sudah tidak sabar untuk melihat Yuna di sana.
Sebagai teman industri dan ‘kakak’ kepada Yuna saya pasti akan membantu sehabis baik untuk bawanya ke Indonesia.
“Tetapi nama Yuna sendiri sudah cukup besar di peringkat antarabangsa dan laluannya pasti tidak sukar,” kata Bunga. – HIBGLAM