FILEM The Greatest Showman menjadi inspirasi persembahan komedi berdiri Phua Chu Kang: The Greatest Show Man yang akan membuat persembahan di Kuala Lumpur pada 24 dan 25 Oktober depan.
Menampilkan watak ikonik Phua Chu Kang (PCK) lakonan pelawak terkenal Singapura iaitu Gurmit Singh, acara tersebut bakal berlangsung di Pusat Konvensyen HGH Sentul Kuala Lumpur.
Bagi Gurmit, 59, Phua Chu Kang: The Greatest Show Man akan menjadi medan buat dirinya bertemu dengan peminat secara langsung setelah kali terakhir membuat persembahan di Malaysia sekitar 2020.
“Tentu sahaja saya tidak sabar untuk kembali dengan sesuatu yang segar tetapi masih membawa aura klasik Phua Chu Kang.
“Penonton dapat melihat persembahan yang tidak dijangkakan daripada kami nanti. Bukan sekadar jenaka komedi berdiri, tetapi mereka juga akan dapat menyaksikan persembahan yang tidak akan dilupakan,” ujarnya.
Selain Gurmit, dua selebriti lain iaitu Russell Curtin dan Rizal Van Geyzal turut akan bersama-sama menghiburkan penonton sepanjang dua hari persembahan itu.
Russell akan menyanyikan beberapa lagu dengan diiringi kumpulan pemuzik profesional.
Isu sensitif
Bagi Rizal, sebagai persediaan dia akan membuat perancangan secara terperinci bagi memastikan penonton terhibur dengan jenaka yang diketengahkan.
“Saya akan cuba membuat persiapan kira-kira 70 peratus sementara baki 30 peratus itu akan dilakukan secara spontan nanti,” jelasnya.
Menjawab persoalan tentang jenaka yang dikhuatiri menyentuh sensitiviti, Rizal memberitahu, kontroversi berlaku selepas sedutan persembahan tersebut dimuat naik dalam media sosial.
“Beberapa jenaka yang dijadikan isu itu sering kali berlaku sebaik sahaja ia dimuat naik ke internet. Penonton yang menyaksikan persembahan tidak mempunyai sebarang masalah dan menerima jenaka itu dengan baik.
“Tetapi apabila sudah dimuat naik, maka akan ramai individu lain yang meluahkan kemarahan tanpa mengetahui hujung pangkal jenaka itu.
“Nasihat saya, sebelum membuat sebarang penilaian boleh datang dan tonton persembahan secara langsung terlebih dahulu,” jelasnya.
Sementara itu, bertindak selaku penganjur, Popcorn Studio Sdn Bhd menjanjikan persembahan yang berlangsung selama dua malam itu akan sarat dengan hiburan jenaka, tarian, nyanyian dan persembahan memukau dengan bakat luar biasa.
Menurut wakilnya, Erik Ong, bukan sahaja memberi fokus kepada persembahan komedi dan nyanyian, acara tersebut menitikberatkan soal pencahayaan, kesan bunyi, visual dan susunan muzik yang dipersembahkan secara langsung di hadapan penonton.
“Persembahan itu nanti akan melakar sejarah tersendiri apabila dipentaskan dengan lebih 30 gabungan pemuzik dan penari yang akan membuat persembahan.
“Selain watak Phua Chu Kang yang menjadi tarikan utama, acara itu nanti turut memperlihatkan persembahan dalam konsep sirkus yang tentu sahaja membuat penonton terhibur dan teruja,” katanya.
Tiket dijual pada harga RM100 hingga RM240 dan boleh didapati di www.ticket2u.com.my/pek.
Pembeli awal akan berpeluang menikmati manfaat percuma empat tiket dengan setiap enam pembelian. – HIBGLAM