‘Kutuk filem tempatan semata-mata demi views, itu dah basi’

TIDAK bersetuju video ulasan yang sewenang-wenangnya mengecam filem tempatan, pelakon Liyana Jasmay menegur pencipta kandungan yang sanggup berbuat demikian semata-mata mengejar jumlah tontonan tinggi.

Liyana, 38, yang aktif menerbitkan filem di bawah syarikat Mermaid Studio Sdn. Bhd, menyifatkan tindakan kotor itu sudah ketinggalan zaman.

“Bila semua nak reviu filem sebab nak tarik pengikut tinggi jadi kutuklah apa lagi.

“Tolonglah semua yang kutuk-kutuk sebab nak ‘engagement’ tinggi ke laman awak. Sangat basi,” katanya menerusi InstaStory.

Selain itu, pelakon filem Papadom itu turut mempersoalkan kredibiliti sesetengah individu dalam melakukan ulasan sesebuah naskhah.

“Tiba-tiba awak peminat filem muzikal. Saya nak tanya, muzikal filem apa yang awak sudah tonton?” ujarnya lagi.

Kelantangan Liyana dalam media sosial dipercayai merujuk kepada tindakan beberapa individu yang membuat penilaian negatif terhadap filem terbaharunya berjudul Baik Punya Ah Long yang ditayangkan sejak 12 September lalu.

Selain Liyana, filem arahan Datuk Afdlin Shauki itu turut dibintangi Johan, Zizan Razak dan Chew Kinwah.

Baik Punya Ah Long menyelitkan unsur muzikal hasil inpsirasi daripada karya Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok