BUKAN penyanyi mainstream tetapi utuh dalam liganya sendiri.
Itu sudah cukup menggambarkan keberadaan sosok bernama Kunto Aji yang selesai menghiburkan peminat di Malaysia baru-baru ini.
Memilih Kuala Lumpur (KL) sebagai penutup, sekali gus melengkapkan siri jelajah Konsert Perjalanan Menawar Racun, Kunto berjaya menarik lebih 1,500 peminat setianya pada acara yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur itu.
Terharu dengan sambutan yang diberikan, dia yang mesra disapa Mas Kun itu menyifatkan konsert tersebut berjaya mencapai misinya.
Kebetulan ini adalah rangkaian daripada siri jelajah di lima bandar di Indonesia dan satu di Malaysia iaitu KL. Malam (28 Ogos) ini adalah kemuncaknya.
“Alhamdulillah, setakat ini konsert di KL paling mengujakan berbanding lokasi lain kerana tenaga penonton yang hadir sangat luar biasa dan memang gembira dapat tampil lagi di sini,” katanya kepada HibGlam.
Berkongsi momen sesi curahan hati yang dilakukan bersama peminat di Malaysia, anak kelahiran Jogjakarta itu berkata, semuanya berjalan seperti direncana malah meraih pelbagai idea baharu menerusi acara tersebut.
“Sesi tersebut berjalan dengan baik dan menyeronokkan apatah lagi dalam acara yang sangat intimate dengan peminat di sini.
Saya juga sempat melakukan beberapa aktiviti lain antaranya bermotosikal di sekitar ibu kota.
“Memang menjadi salah satu rutin wajib saya lakukan di setiap kota yang menjadi lokasi konsert jelajah kali ini,” ujar pemilik nama penuh Kunto Aji Wibisono itu.
Menyingkap semula konsert yang diibaratkan sebagai acara tahunannya di Malaysia, Kunto, 37, berjaya memecah tembok air mata segelintir peminat pada malam tersebut.
Pada malam tersebut, sebanyak 20 lagu didendangkan termasuk daripada album Mantra Mantra, Generation Y dan terbaharu, Penghantar Purifikasi Pikir.
Konsert dimulakan tepat pada pukul 8.30 malam dengan alunan bertenaga lagu Perjalanan Menawar Racun dan Konon Katanya.
Sebagai individu yang pernah menyaksikan persembahannya dua tahun berturut-turut, konsert kali ini menawarkan ‘bunyi’ yang lebih baik berbanding tahun lalu. Vokalnya tidak perlu dipertikai, seperti telan kaset!
Perjalanan emosi sepanjang konsert berlangsung sememangnya memberi makna buat penonton yang hadir.
Saudade, Mercusuar, Ekspektasi berjaya meledakkan adrenalin ramai namun, kemuncaknya ketika lagu Pilu Membiru serta Sulung diperdengarkan.
Lagu ini membawa pendengar ke suatu titik kesedihan di mana mungkin teringat kepada mereka yang telah pergi,” katanya yang membuat sebahagian penonton menitiskan air mata.
Turut mendendangkan lagu-lagu daripada album terbaharunya, Kunto berkata, Pengantar Purifikasi Pikir membawa makna kepada perjalanan penyucian mental dan pertumbuhan selepas melalui fasa menyakitkan.
Antara lagu daripada album tersebut yang diperdengarkan ialah Jangan Melamun Saat Hujan, Jernih, Orang Asing Dalam Cermin dan Rona Langit Merah.
Sebelum menutup tirai, Kunto melengkapkan persembahan dengan Rehat dan Sudah Lama Sendiri yang boleh dikatakan antara atau ‘mahakarya’ sepanjang karier nyanyiannya.
Meskipun tidak banyak kelainan yang berbanding sebelum ini, Kunto membuktikan karyanya cukup untuk menghipnosis emosi setiap penonton. – HIBGLAM