Kuat cemburu tapi setia, Osama Yamani suka wanita Borneo

PERCERAIAN kedua ibu bapa sama sekali tidak membuatkan penyanyi Osama Yamani takut untuk berumah tangga.

Osama atau nama lengkapnya Osama Yamani Jamal Ubaidillah, 23, berkata, kegagalan perkahwinan orang tuanya itu secara tidak langsung mengajarnya untuk setia dengan pasangan.

“Perkara (perceraian) itu membuatkan saya kuat semangat dan yakin boleh mempertahankan perkahwinan serta setia dengan seorang wanita.

Sekiranya diizinkan Tuhan, saya juga boleh buktikan boleh berkahwin empat tetapi saya tidak mahu.

“Kalau boleh saya hendak setia dengan seorang wanita sahaja. Saya ini orang yang setia dan hanya akan setia dengan satu (seorang) saja,” katanya kepada HIBGLAM.

Putera kepada penyanyi tersohor Datuk Jamal Abdillah itu turut memaklumkan segala yang berlaku (perceraian) kepada keluarganya adalah disebabkan kesilapan masing-masing.

“Saya lihat ayah juga banyak kali bercinta, segala yang berlaku atas kesilapan sendiri.

“Personaliti saya sama seperti ayah saya. Kami memang kuat cemburu. Walaupun orang nampak saya garang, tetapi saya sebenarnya manja orangnya,” kata Osama.

Ditanya tentang ciri-ciri wanita idaman dan hubungan baik dengan vokalis kumpulan Cherry On Top iaitu Holy atau nama sebenarnya, Adriana Audrey Michael tanpa berselindung Osama memberitahu bahawa dia memang tertarik dengan gadis dari Borneo.

Bagaimanapun, penyanyi lagu Balasan Janji Palsu itu tidak mengulas lanjut mengenai hubungannya dengan dengan Holy yang berasal dari Sabah.

Saya mencari seseorang yang memahami tentang diri saya dan kerjaya. Wanita yang boleh menerima saya seadanya.

“Sejujurnya saya memang tertarik dengan wanita dari Borneo,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, selain fokus kepada kerjaya solo, Osama kini merupakan anggota kumpulan Cherry On Top yang turut dianggotai Holy, Kuzan, Ayen Tommy, Didi dan Bobo. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok