MAHUKAN kelainan dalam konsert Search Symphonic Live In Kuala Lumpur pada Sabtu ini, kumpulan rock Search menggunakan khidmat pemuzik antarabangsa yang pernah bekerjasama dengan penyanyi terkenal Beyonce.
Kata Datuk Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 66, susunan muzik bagi konsert tersebut telah dibuat oleh Rie Tsuji bakal mencipta sejarah sekali gus mencetuskan trend baharu dalam industri.
“Sejujurnya kami sangat berbesar hati dapat bekerjasama dengan barisan pemuzik profesional dan nama besar dalam industri.
“Kami yakin persembahan ini akan menjanjikan satu pengalaman luar biasa kepada peminat dan membawa mereka (peminat) keluar daripada zon muzik biasa.
“Lagipun kami percaya dengan susunan muzik yang dibuat oleh Rie yang sebelum ini pernah bekerjasama dengan barisan artis antarabangsa antaranya Beyonce. Penglibatannya dalam konsert ini satu penghormatan buat kami,” katanya ketika ditemui dalam sesi latihan semalam.
Menjelang hari persembahan, maestro muzik Datuk Mokhzani Ismail mengakui tidak sabar bekerjasama dengan kumpulan rock terkenal itu.
Menurut Mokhzani, seramai 28 pemuzik orkestra akan mengiringi persembahan yang mendapat sentuhan susunan muzik Rie Tsuji.
“Mereka (kumpulan Search) sudah lama berkecimpung dalam industri jadi ini adalah masa untuk memberikan sesuatu yang luar biasa sebagai penghargaan.
“Kami ingin menjadikan lagu itu rasa ‘mahal’ dan berbeza berbanding mana-mana persembahan.
“Pada konsert itu nanti penonton turut disajikan dengan kehebatan pemuzik kumpulan Search nanti. Kesemua lagu sudah mendapat susunan muzik baharu dan pemuzik orkestra akan mempersembahkan lagu tersebut tanpa mencacatkan melodi,” katanya.
Sementara itu bagi Rie, susunan muzik ditambah dengan kesan muzik khas bakal memberikan penonton pengalaman seperti sedang menonton filem.
“Saya mengambil ilham daripada sejarah pahlawan Viking dan mereka yang hadir akan berasa seperti sedang menonton filem.
“Agak gementar untuk tunjukkan hasil susunan muzik saya kepada mereka, tetapi saya bersyukur apabila mereka menerima dengan baik.
“Lagu Isabella antara yang sukar untuk dibuat kerana lagu tersebut sangat popular dan ikonik. Untuk itu, saya cuba sehabis baik menggabungkan karya sedia ada dengan idea baharu,” jelasnya.
Konsert anjuran Persatuan Rekreasi Global Malaysia (PRGM) akan berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.
Tiket boleh dibeli menerusi www.myticket.asia dengan harga RM168 (PS3), RM268 (PS2), RM368 (PS1) dan RM468 (VIP).
Lebih 20 lagu akan dipersembahankan dalam konsert tersebut antaranya Rozana, Isi Atau Kulit, Setelah Hujan, Pelesit Kota, Isabella, Bencana dan Pawana. – HIBGLAM