PELAKON Alvin Chong mendedahkan namanya pernah ditolak pihak produksi untuk sebuah filem aksi hanya kerana memiliki wajah ‘lelaki baik’.
Mengakui kecewa dengan perkara tersebut Alvin atau nama penuhnya, Alvin Chong Chean Wah, 33, berkata, dia hanya mahu mencabar diri dengan watak lebih berat.
“Saya pernah pergi uji bakat untuk sebuah filem aksi bagi watak polis atau tentera.
Pada mulanya mereka cakap lakonan okey, tetapi pengarah cakap muka terlalu baik, jadi saya tak dapat,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Menurut Alvin, kerap dihulur watak sama membuatkan keinginan untuk mendapatkan karakter lebih berat makin membuak-buak.
Setakat ini, watak yang saya dapat semuanya lebih kurang sama, iaitu hero kacak dan baik.
“Saya menanti juga watak yang lebih mencabar tetapi belum ada rezeki.
Saya teringin juga watak lelaki psiko dalam naskhah ‘serial killer’, namun belum dapat lagi sebab orang nampak saya macam budak baik,” ujarnya.
Dalam pada itu, dia mengakui tidak tahu cara untuk menyakinkan pengarah dan penerbit agar membuka peluang kepadanya menjiwai watak idaman.
Nak buat macam mana, takkan nak suruh saya pergi tanam janggut, misai dan sebagainya untuk nampak lebih ganas?
“Saya pun tak tahu nak buat macam mana sebab saya nak juga watak berbeza, nanti orang bosan juga kalau asyik tengok lakonan sama sahaja,” tuturnya ketika ditemui di lokasi penggambaran drama Rahsiamu Selamat Denganku baru-baru ini. – HIBGLAM