‘Kelahiran semula Amir Jahari’

MELANCARKAN sebuah album studio pastinya menjadi impian ramai penyanyi, namun bukan semua mampu  berbuat demikian, tambahan pula perlu bergerak seiring kewujudan platform penstriman muzik ketika ini.

Realiti yang menyakitkan tetapi bagi Amir Jahari, semua itu tidak memudarkan semangatnya untuk muncul dengan album ketiganya, Kembali.

Selama 13 tahun berlayar dalam industri muzik, Amir atau nama lengkapnya Mohamad Amirullah Jahari, 32, berkata, lagu-lagu yang dimuatkan dalam album ketiga yang dilancarkan bulan lalu tersebut sarat dengan mesej murni.

AMIR menyifatkan album Kembali sebagai kelahiran semula dirinya dalam industri muzik tanah air. – Nurul Najwa Hasran.

Kesemua lagu yang dihasilkan padat dengan mesej tentang peringatan terhadap Tuhan, jauhi riak atau bongkak dan berkaitan kekeluargaan.

Ini adalah hadiah saya untuk peminat setelah sekian lama tidak muncul dengan album fizikal. Namun, saya ingin tegaskan, saya bukan pendakwah cuma mahu menyebarkan perkara positif menerusi karya seni.

“Bukan sahaja hadiah tetapi album ini saya lihat seperti kelahiran semula Amir Jahari dengan membuka lembaran baharu dalam kerjaya seni suara,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.

Berkongsi keterujaan tentang album yang memuatkan 15 lagu itu, Kembali memberinya peluang meneroka pelbagai genre dengan sentuhan pop, rock dan folk dengan pengaruh Nusantara selain turut mengangkat tema kemanusiaan serta kerohanian.

Baginya, kepelbagaian genre muzik memberinya kepuasan sebagai seorang penulis lirik dan pengubah lagu.

Saya lebih suka berkarya yang menyentuh tentang keluarga, itulah saya sebagai seorang pencipta muzik. Lagu-lagu dalam album ini sangat versatil dan pelbagai.

“Ada bunyi seperti Datuk Zainal Abidin, ada persis muzik kumpulan Hujan dan karya yang sangat pop.

Semua itu adalah gabungan daripada semua yang saya pernah buat sebelum ini, hasilnya alhamdulillah memuaskan hati,” katanya.

AMIR bersama ahli kumpulan muzik yang pernah mengiringi persembahannya pada majlis pelancaran album Kembali baru-baru ini

Melanjutkan bicara tentang penghasilan Kembali, banyak cabaran perlu dilalui untuk merealisasikan album tersebut termasuklah masalah kesihatan mental.

“Saya pernah hadapi masalah kesihatan mental dan hilang daripada radar muzik sekitar tahun 2018 hingga 2020.

Selepas menjalani rawatan dengan psikiatri, barulah saya buat keputusan untuk kembali ke dalam industri muzik.

“Sepanjang proses tersebut, kekangan utama adalah faktor kewangan. Bukan kerana tiada tawaran nyanyian tetapi saya banyak tolak sebab masalah-masalah yang berlaku sebelum ini,” tuturnya.

Bukan sahaja lagu, dia turut memberi penghormatan terhadap bumi Palestin pada kulit albumnya.

“Sinonim dengan Kembali, ini juga penghormatan saya buat mereka yang syahid di sana.

Rekaan kulit album direka oleh pelukis, Mey Kamal. Asalnya, bukan untuk kulit album tetapi demi solidariti terhadap Palestin, saya realisasikannya.

“Imej pokok pada kulit album ibarat harapan yang tumbuh untuk melihat kedamaian di sana,” ujarnya.

AMIR turut mendedikasikan ilustrasi kulit album Kembali terhadap saudara seagama yang syahid di Palestin.

Ditanya tentang kemenangan pada  Anugerah Juara Lagu ke-38 (AJL) menerusi lagu Hasrat pada Mac lalu, Amir menyifatkan perkara tersebut sebagai satu bentuk rezeki.

Dia bagaimanapun menolak dakwaan kemenangan tersebut mengubah dirinya menjadi seorang yang lebih negatif selain enggan orang ramai meletakkan penanda aras tinggi terhadapnya

“Ramai orang anggap saya berjaya dan hidup berubah 360 darjah selepas menjuarai AJL, sebenarnya tidak.

Secara peribadi, AJL adalah hadiah daripada Allah SWT. Kadang-kadang hadiah itu juga boleh jadi sesuatu yang tak baik kalau kita lupa diri,” ujarnya lagi.

Tidak pernah jemu bercerita tentang momen AJL, pelantun Tanpamu itu tidak pernah menjangka kemenangan tersebut menjadi miliknya ketika itu.

Saya tak pernah rancang untuk menang AJL atau apa.

“Kemenangan itu memang rezeki tetapi objektif saya ketika ini hanya untuk siapkan 10 buah album, tinggalkan legasi sekiranya berkesempatan dan memiliki umur yang panjang,” tutupnya. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok