‘Penarikan semula kes mahkamah tak benar sama sekali’

Penyanyi Aliff Aziz menegaskan tidak pernah menarik kes mahkamah melibatkan dia dan wanita didakwa bekas kekasih gelapnya, Sarah Yasmine.

Menurut Aliff, 33, kes mahkamah yang berlangsung di Singapura itu sememangnya sudah selesai tetapi dengan arahan mahkamah iaitu ‘final court order’ terhadap pihak Sarah.

“Ini bermakna bahawa perintah mahkamah awal yang telah diberikan berdasarkan permohonan saya akhirnya telah disahkan.

“Jadi kekeliruan tentang penarikan semula kes ini oleh saya adalah sama sekali tidak benar,” katanya.

Tambah pelantun lagu Sayang Sayang itu, dia yakin pihak Sarah memahami dengan semua perintah yang tertakluk di dalam ‘final court order’.

“Dengan itu perintah mahkamah tersebut adalah muktamad dan telah terlaksana serta merta.

“Saya yakin pihak sana tahu dan faham akan perintah yang tertakluk di dalam ‘final court order’.

“Saya harap tiada mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab memanipulasikan fakta kesimpulan kes ini,” tuturnya.

Terdahulu, Sarah sebelum ini menerima notis daripada pihak mahkamah agar tidak mengeluarkan sebarang pendedahan dalam media sosial mengenai Aliff.

Ini termasuklah dia tidak dibenarkan memberi komen mengenai temu bual aktor berkenaan yang dimuat naik di saluran YouTube The Common Folks pada Mei lalu. – HIBGLAM

Ikuti kami di saluran media sosial : FacebookX (Twitter)InstagramTikTok